Harimau Malaya sudah 'masak' tekanan GBK

Harimau Malaya sudah ‘masak’ tekanan GBK

FAISAL HALIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Harimau Malaya tidak lagi asing dengan tekanan dan provokasi penyokong Indonesia, malah bersedia mengharungi suasana panas di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) apabila membuka kempen Piala ASEAN FIFA 2026.

Skuad kebangsaan melihat sorakan puluhan ribu penyokong tuan rumah bukan ancaman, sebaliknya cabaran yang perlu dihadapi secara profesional dalam usaha memburu keputusan positif pada aksi pembukaan itu berdepan Bangladesh, Jumaat ini.

Pemain sayap negara, Faisal Halim menegaskan skuad kebangsaan sudah cukup matang dan profesional untuk menghadapi sebarang bentuk provokasi daripada penyokong tuan rumah tanpa menjejaskan fokus di atas padang.

Menurutnya, kekuatan mental dan fizikal akan menjadi senjata utama Harimau Malaya bagi mengharungi cabaran getir dalam aksi yang sentiasa sarat dengan emosi serta persaingan sengit antara dua seteru Nusantara itu yang dijadualkan bertemu Isnin depan.

“Pada saya, kita sudah matang dan profesional. Apa-apa provokasi atau lontaran daripada pihak penyokong di sana kepada kita, sebagai pemain kita kena hadap.

“Kita kena kuatkan mental dan fizikal serta bersedia untuk perlawanan menentang Indonesia,” katanya sebelum berlepas ke Jakarta bersama skuad kebangsaan di sini, semalam.

Bintang Selangor FC itu mengakui pertemuan dengan Indonesia di gelanggang lawan sentiasa mempunyai keistimewaan tersendiri, terutama apabila berlangsung di Gelora Bung Karno yang terkenal dengan suasana ‘panas’ dan sokongan padu penyokong tuan rumah.

Katanya, peluang beraksi dalam persekitaran sebegitu perlu dimanfaatkan sebagai pengalaman berharga untuk membentuk ketahanan mental pemain negara dalam menghadapi perlawanan berintensiti tinggi di peringkat antarabangsa.

Faisal percaya cabaran di Jakarta mampu menjadi medan terbaik buat Harimau Malaya menguji kemampuan sebenar sebelum mengharungi kejohanan lebih besar pada masa hadapan termasuk kempen kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia.

“Ini adalah satu pelajaran dan pengalaman terbaik untuk pasukan kebangsaan bagi menghadapi perlawanan pada tahap lebih tinggi pada masa akan datang.

“Kita akan bermula di sini sebagai persiapan untuk Kelayakan Piala Asia atau kelayakan Piala Dunia yang akan datang. Jadi, kita pergi perlawanan demi perlawanan dan memberikan yang terbaik untuk pasukan kebangsaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×