PETALING JAYA: Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara turun dengan misi wajib menang ke atas Thailand dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia B-23 2026 di Stadium Thammasat, hari ini.
Berdepan pasukan tuan rumah yang turut memburu kemenangan pastinya menjadi perlawanan sukar buat anak buah Nafuzi Zain, namun mereka tidak mempunyai pilihan selain melakar kemenangan.
Ketika ini, ‘jalan sehala’ iaitu menang menjadi laluan skuad B-23 jika mereka memasang impian untuk layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia B23 2026 yang berlangsung di Arab Saudi, tahun depan.
Skuad kendalian Nafuzi ketika ini berada di kedudukan ketiga Kumpulan F dengan tiga mata selepas dua perlawanan, dibelakang Thailand dan Lubnan yang berkongsi empat mata.
Nafuzi berkata, hanya kemenangan ke atas Thailand menjadi jalan tunggal buat Harimau Muda mara ke pusingan seterusnya dalam kelayakan tersebut.
Selepas anak buahnya bangkit garang membelasah Mongolia 7-0 dalam aksi kedua Kumpulan F, kelmarin, Nafuzi mengingatkan misi sebenar pasukan masih belum selesai.
“Hanya ada satu jalan untuk kita mara, iaitu kita mesti menewaskan Thailand dalam perlawanan terakhir,” kata Nafuzi.
Mengulas mengenai cabaran terakhir menentang Thailand, Nafuzi mengakui lawan itu memiliki kualiti lebih baik, namun menegaskan tiada yang mustahil dalam bola sepak.
“Kita tahu kekuatan Thailand, tetapi dalam bola sepak semua boleh berlaku. Yang penting kita kena usaha dan yakin,” kata bekas pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC itu.
Menurut Nafuzi, kemenangan besar ke atas Mongolia memberi suntikan moral kepada pemain selain menambah keyakinan menjelang aksi getir menentang tuan rumah.
“Selepas kemenangan ini, kepercayaan pemain pasti bertambah. Namun kita perlu benar-benar fokus dan membuat persiapan terbaik untuk berdepan Thailand,” ujarnya.
Ditanya sama ada senario kali ini hampir sama seperti saingan Piala ASEAN di Jakarta sebelum ini apabila tewas aksi pertama sebelum bertemu lawan sukar di perlawanan terakhir, Nafuzi yakin pasukannya sudah belajar daripada pengalaman lalu.
“Memang skrip agak sama, tetapi saya percaya dengan usaha dan keyakinan kita, Insya-Allah ada rezeki. Yang penting, pemain kena terus berusaha,” jelasnya.
Untuk rekod, hanya juara kumpulan dan empat naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Arab Saudi, tahun depan. – UTUSAN










