PETALING JAYA: Nama Luka Jordy Hodak menjadi perhatian apabila anak kepada bekas pengendali skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara, Bojan Hodak itu dipilih memperkuatkan cabaran Malaysia pada Kejuaraan ASEAN B-19 2026 di Medan, Indonesia bermula esok.
Pemain yang kini beraksi bersama kelab Croatia, NK Trnje FC itu disenaraikan dalam skuad akhir kendalian Nafuzi Zain yang membawa misi memburu gelaran ketiga kejohanan remaja paling berprestij Asia Tenggara tersebut.
Kehadiran Luka Jordy dilihat cukup simbolik memandangkan bapanya pernah mencipta sejarah menghadiahkan kejuaraan buat Malaysia pada edisi 2018 di Surabaya sekali gus membuka peluang buat pemain muda itu meneruskan legasi keluarga bersama Harimau Muda.
Selain Luka Jordy, kekuatan skuad negara kali ini turut banyak dipengaruhi pemain Johor Darul Ta’zim apabila seramai 15 pemain dari akademi gergasi tanah air itu dipilih mengisi senarai 23 pemain ke Indonesia.
“Daripada senarai tersebut, pemain berusia 17 tahun, Arayyan Hakeem Norizam turut diberi peluang membuktikan kemampuan selepas dianggap antara prospek terbaik negara ketika ini.
“Selain itu, enam lagi pemain daripada Selangor FC turut dipanggil menguatkan skuad, manakala seorang lagi pemain, R Pravinash hadir mewakili MISC-Touchtronics FC yang berpangkalan di Shah Alam,” kata Nafuzi.
Turut mencuri perhatian ialah pemilihan pemain berusia 17 tahun, Arayyan Hakeem Norizam yang dianggap antara prospek masa depan bola sepak negara selain enam pemain dari Selangor FC serta seorang wakil MISC-Touchtronics FC turut berada dalam skuad akhir.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan membuka kempen menentang Singapura di Stadium Teladan pada Selasa sebelum berdepan Brunei pada 5 Jun dan Thailand pada 8 Jun.
Saingan kali ini membabitkan 11 pasukan dengan juara bertahan Indonesia mengetuai Kumpulan A bersama Vietnam, Timor-Leste dan Myanmar manakala Australia pula mengetuai Kumpulan C bersama Kemboja dan Filipina.
Untuk rekod, Malaysia pernah dua kali menjulang kejuaraan kejohanan ini menerusi edisi 2018 di bawah Bojan Hodak dan 2022 ketika dikendalikan Hassan Sazali Waras selain muncul naib juara sebanyak enam kali. – UTUSAN










