PETALING JAYA: Malaysia tidak mempunyai pilihan selain memulakan kempen Piala AFF B-19 dengan kemenangan apabila turun menentang Singapura dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Medan, esok.
Ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun (B-19) negara, Nafuzi Zain percaya tiga mata pertama mampu menjadi pemangkin penting untuk meletakkan pasukannya di landasan terbaik dalam misi memburu tiket ke separuh akhir.
Katanya, kemenangan dalam perlawanan pembukaan bukan sahaja memberi kelebihan dari segi kedudukan kumpulan, malah mampu meningkatkan keyakinan pemain untuk menghadapi baki saingan yang lebih mencabar.
“Perlawanan pertama amat penting kerana ia boleh membuka laluan ke separuh akhir. Sudah tentu kami mahu menang dan dalam masa sama mempamerkan corak permainan yang dirancang.
“Jika dapat memulakan kejohanan dengan keputusan positif, ia akan memberi motivasi tambahan kepada pemain untuk meneruskan momentum dalam perlawanan berikutnya,” katanya.
Bagaimanapun, Nafuzi tidak mahu anak buahnya terlalu yakin apabila berdepan Singapura meskipun Malaysia sering dilihat memiliki kelebihan berdasarkan rekod dan reputasi di peringkat serantau.
Beliau menegaskan kejohanan peringkat umur sering menyaksikan keputusan di luar jangkaan, justeru setiap pemain perlu mengekalkan fokus serta mematuhi arahan taktikal sepanjang perlawanan.
“Bola sepak ditentukan di atas padang. Apa yang penting pemain perlu kekal tenang, berdisiplin dan melaksanakan pelan permainan yang sudah kami sediakan.
“Ramai pemain dalam skuad ini juga masih baharu di pentas antarabangsa, jadi mereka perlu cepat menyesuaikan diri dengan tekanan kejohanan,” ujarnya.
Selain Singapura, Malaysia turut diundi bersama Thailand dan Brunei dalam Kumpulan B, dengan hanya pasukan terbaik mempunyai peluang cerah untuk mara ke kelompok empat terbaik.
Justeru, aksi pembukaan di Medan dilihat sebagai medan terbaik buat skuad muda negara membuktikan kemampuan sebenar mereka serta menghantar isyarat awal bahawa Malaysia bersedia mencabar kejuaraan. – UTUSAN










