PETALING JAYA: Pelari muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee menepati ramalan apabila memenangi pingat emas dalam acara 100 meter (m) pada Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) Sirkit 3 di Stadium Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.
Danish mewakili Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) muncul pelari terpantas selepas melakukan catatan masa 10.43 saat (s) manakala pingat perak dimenangi Edrick Feivel Florentius (10.72s) dan gangsa milik Mohammad Raimi Mustaffa Kamal (10.74s).
Kemenangan itu juga membolehkan Danish mengekalkan pingat emas yang dimenanginya pada Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) Sirkit 2 di Terengganu pada Jun lalu.
Terdahulu, Danish mara ke final selepas melakukan 10.67s di peringkat separuh akhir sekali gus muncul pelari terpantas keseluruhan.
Sementara itu, bagi aksi final 100m wanita pula menyaksikan pelari negara, Azreen Nabila Alias memenangi pingat emas dengan catatan masa 11.94s manakala perak dimenangi Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal (12.16s) dan gangsa milik Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka (12.19s).
Dalam pada itu, bagi acara 800m lelaki menyaksikan pingat emas dimenangi M. Avinashwer Austin selepas melakukan 1:55.37s dan perak milik P. Risheraam (1:57.96s) manakala gangsa diraih Muhamad Adam Afdhal Abdul Razak (1:58.36s).
Bagi acara 800m wanita pula dimenenangi oleh Yuki Tejima yang menamatkan larian dengan catatan 2:40.52s manakala perak milik S. Shidasia (2:40.81s) dan K. Kaviithanjali meraih gangsa (2:42.07s). – UTUSAN








