PETALING JAYA: Impian bintang pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee untuk berentap dengan juara Sukan Olimpik Paris 2024, Noah Lyles di pentas final 100 meter (m) Grand Prix (GP) Emas Seiko di Jepun tidak kesampaian selepas tersingkir dalam aksi cabaran di Stadium Nasional Tokyo, hari ini.
Kegagalan Danish mara ke final sekali gus memadam peluang pemegang rekod kebangsaan 200m itu untuk berkongsi pentas perlumbaan bersama ikon olahraga dunia berkenaan.
Pelari berusia 19 tahun itu menamatkan perlumbaan saringan ketiga di kedudukan kelapan menerusi catatan 10.52 saat (s) dalam saingan yang dibarisi beberapa jaguh pecut terbaik Asia.
Aksi saringan ketiga itu dimenangi pelari Jepun, Fukuto Komuro dengan catatan 10.23s diikuti Joeljin Nwamadi dari Korea Selatan (10.35s) dan Chun Han Yang dari Taiwan (10.38s).
Secara keseluruhan, Danish menamatkan saingan di kedudukan ke-24 daripada 25 pelari yang bertanding dalam acara tersebut.
Tumpuan utama kejohanan kali ini bagaimanapun terarah kepada kehadiran Lyles yang turun sebagai atlet jemputan khas selepas statusnya selaku juara Olimpik dan dunia dalam acara pecut.
Pelari sensasi Amerika Syarikat (AS) itu tidak menghampakan apabila mencatat masa terpantas keseluruhan 10.05s dalam aksi cabaran sebelum final sekali gus membuktikan dirinya masih antara raja pecut dunia.
Selepas aksi ini, Danish akan berlepas ke Hong Kong bagi Kejohanan Asia B-20 yang berlangsung pada 28 hingga 31 Mei ini.
Untuk rekod, Danish memiliki catatan peribadi terbaik 10.18s yang dilakar pada Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember lalu, manakala catatan terbaik musim (10.46s) ini dilakukannya pada kejohanan tempatan di Pulau Pinang, pada April.










