Politik melampau tak akan bawa kemenangan pilihan raya - Utusan Malaysia

Politik melampau tak akan bawa kemenangan pilihan raya

AMIRUDIN Shari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pendekatan politik melampau seperti dibawakan pembangkang mungkin popular tetapi tidak akan memenangkan mereka dalam pilihan raya akan datang.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pendekatan sedemikian tidak lagi diterima majoriti rakyat dan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu terikut dengan pendekatan tersebut.

“Pendekatan politik melampau atau ‘far right’ mungkin nampak popular, tetapi ia akhirnya akan ditolak rakyat. Lihat sahaja kepimpinan Presiden Donald Trump yang semakin menurun dalam penggal kedua beliau.

“Sebaliknya PH perlu terus memperjuangkan isu-isu nasional yang membelenggu rakyat hari ini. Inisiatif BUDI95 telah buktikan walaupun tidak populis tetapi berjaya memberi kestabilan kepada rakyat.

“Penjimatan yang dibuat kerajaan melalui inisiatif itu dikembalikan semula kepada rakyat melalui bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan lain-lain,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Tambah Menteri Besar Selangor itu, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah terbukti membela dan menjaga kesejahteraan rakyat dan menunjukkan Kerajaan Madani bersedia untuk pentadbiran penggal kedua.

“PH sudah sedia untuk tadbir negara buat penggal kedua. Reformasi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya memilih untuk mengetepikan politik populariti, sebaliknya terus memperkukuh politik tanggungjawab demi memastikan kestabilan negeri dan negara.

Katanya, landskap politik ketika ini sudah berubah dan kerajaan tidak lagi boleh mengambil mudah sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Dalam politik hari ini, terlalu mudah untuk cari populariti melalui perpecahan dan kebencian, tetapi Pulau Pinang memilih jalan yang berbeza. Kita pilih politik kestabilan, politik pembangunan dan politik masa depan.

“Rakyat mahu kestabilan, pelabur juga mahu kestabilan, anak muda yang mencari pekerjaan dan masa depan turut mahukan kestabilan. Sehubungan itu kita memilih untuk berpolitik dengan memperkenalkan dasar-dasar diyakini penting demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN