PETALING JAYA: Raja pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi kembali menebus kekecewaan dalam acara individu apabila membantu Universiti Auburn muncul juara acara 4×100 meter (m) pada Kejohanan SEC di Auburn, Amerika Syarikat (AS), hari ini.
Azeem bersama rakan sepasukan Kayinsola Ajayi, Austin Kresley dan Tyler Davis mencatat masa 38.07 saat (s) untuk membawa pulang pingat emas di hadapan penyokong sendiri selaku tuan rumah.
Kejayaan itu hadir sehari selepas Azeem tersingkir dalam saringan 100m individu apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan 10.31s.
Namun, kuartet Auburn kembali mempamerkan larian bertenaga untuk menewaskan Universiti Negeri Louisiana (LSU) yang dibarisi Jeremiah Walker, Jaiden Reid, Shakeem McKay dan Joshua Caleb dengan masa 38.35s.
Pasukan Universiti Tennessee, Traunord Folson, Davonte Howell, T’Mars McCallum dan Elijah Clark membawa pulang gangsa dengan catatan masa 38.51s. – UTUSAN










