PETALING JAYA: Walaupun sekadar menamatkan saingan di tempat ketujuh acara 100 meter (m) lelaki pada Kejohanan Olahraga Asia Bawah 20 Tahun (B-20), pencapaian Danish Iftikhar Muhammad Roslee tetap membuka sinar baharu buat olahraga negara menjelang Kejohanan Dunia B-20 di Oregon, Amerika Syarikat (AS), Jun ini.
Atlet berusia 19 tahun itu mencatat masa 10.43 saat (s) dalam final di Kai Tak Youth Sports Ground selepas terlebih dahulu merekodkan 10.38s pada aksi separuh akhir.
Walaupun gagal menaiki podium, Danish menunjukkan peningkatan konsisten apabila kekal bersaing dalam kelompok terbaik Asia pada usia muda.
Jurulatih merangkap bapanya, Muhammad Roslee, percaya pencapaian Danish di Hong Kong menjadi petanda positif bahawa anaknya berada di landasan tepat untuk melangkah lebih jauh di pentas antarabangsa.
“Alhamdulillah, semua ini rezeki Allah dan insya-Allah selepas ini fokus utama adalah Kejohanan Dunia B-20.
“Kalau ikut catatan pada Sukan SEA sebelum ini, insya-Allah Danish berada di landasan yang baik untuk layak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Apa yang lebih mencuri perhatian, Danish kini dilihat semakin matang dari sudut persaingan selepas berjaya menembusi final Asia walaupun berdepan pelari-pelari elit dari China, Jepun dan Hong Kong.
Situasi itu sekali gus memberi bayangan bahawa Malaysia mungkin memiliki satu lagi prospek besar dalam acara pecut lelaki selepas kemunculan Muhammad Azeem Fahmi sebelum ini.
Untuk rekod, Danish mencatat masa peribadi terbaik dengan catatan 10.18s pada temasya Sukan SEA Thailand 2025, Disember lalu. – UTUSAN










