PETALING JAYA: Skuad hoki bawah 18 (B-18) negara tidak mempunyai pilihan selain perlu menewaskan Uzbekistan dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan B Piala Asia B-18 di Dazhou, China, hari ini.
Malaysia kini berada di tangga kedua kumpulan mengutip sembilan mata selepas tewas 3-1 kepada pendahulu, Jepun kelmarin dan kedudukan mereka boleh digugat sekiranya tewas kepada Uzbekistan dengan jaringan besar.
Jurulatih negara, Mohd Sufian Mohamad berkata, dia boleh menarik nafas lega apabila kesemua pemainnya bebas daripada kecederaan menentang Jepun namun berharap mereka dapat kekal fokus untuk menempah tiket ke peringkat separuh akhir.
“Menentang Uzbekistan adalah perlawanan yang penting kerana kami perlu menang pada aksi tersebut untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir. Kami tidak kisah bertemu dengan mana-mana pasukan di kumpulan sebelah (peringkat separuh akhir).
“Kami akan mengatur semula (strategi) bagi mencipta kebangkitan,” katanya.
Walaupun tewas, namun Sufian berkata dia amat berpuas hati dengan komitmen serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh pemainnya sewaktu bertemu Jepun.
“Mereka mengikut perancangan dan strategi yang sudah diatur namun hari ini (kelmarin) nasib tidak menyebelahi pasukan apabila kita dihidangkan beberapa peluang untuk menjaringkan gol tapi kami tidak memanfaatkannya.
“Saya berharap ini boleh dijadikan pengajaran kepada pemain untuk ke peringkat seterusnya,” katanya. – UTUSAN










