APABILA menyentuh soal keselamatan, tanggapan umum sering tertumpu kepada tugas pihak berkuasa seperti polis, tentera dan agensi penguatkuasaan undang-undang. Namun realitinya adalah lebih luas dan merentasi pelbagai lapisan masyarakat.
Keselamatan negara bukan hanya bersandarkan kepada kekuatan undang-undang atau jumlah anggota keselamatan semata-mata, sebaliknya turut menuntut peranan aktif dan kesedaran kolektif seluruh rakyat.
Slogan ‘Keselamatan Tanggungjawab Bersama’ yang diangkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) bukan sekadar retorik. Ia mencerminkan realiti usaha memastikan Malaysia terus aman dan berdaulat memerlukan penglibatan semua pihak, daripada pembuat dasar dan penguat kuasa sehinggalah kepada komuniti akar umbi.
Komitmen ini turut dizahirkan melalui pencapaian Malaysia yang diiktiraf sebagai antara negara paling aman di dunia, apabila berjaya menduduki tangga ke-13 dalam Laporan Indeks Keamanan Global 2025. Pencapaian berprestij ini tidak terhasil secara spontan, sebaliknya merupakan manifestasi keberkesanan pelaksanaan Dasar Keselamatan Negara yang strategik, tersusun dan responsif terhadap landskap ancaman semasa yang kian rencam serta mencabar.
Seiring dengan tuntutan meningkatkan kesedaran awam terhadap isu keselamatan, pendekatan pendidikan dan advokasi dalam kalangan penjawat awam perlu terus diperkukuh.
Sebagai agensi utama dalam hal ehwal keselamatan dalam negeri, KDN memainkan peranan penting melalui pelaksanaan dasar dan inisiatif yang berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat. Keutamaan ini diterjemahkan menerusi Pelan Strategik KDN 2021-2025, yang menjadi panduan hala tuju kementerian dalam mendepani cabaran keselamatan semasa dan masa hadapan.
Pelan ini memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu memperkukuh keselamatan dan ketenteraman awam, memperkasa kawalan sempadan serta membanteras jenayah rentas negara, menangani gejala dadah dan substan secara bersepadu, mentransformasi institusi serta sistem penyampaian perkhidmatan agar lebih cekap, berkesan selain berdaya saing.
Dalam merealisasikan kesemua teras tersebut, KDN terus bergerak seiring dengan tuntutan zaman dan cabaran keselamatan yang semakin kompleks. Ancaman moden kini muncul dalam pelbagai bentuk, termasuk pemerdagangan manusia, pengedaran dadah, jenayah siber, penyeludupan dan fahaman ekstremis yang semakin canggih dari segi pendekatan dan rangkaian. Untuk menangani cabaran ini dengan lebih tuntas, strategi pelbagai dimensi diperlukan, bukan hanya dari sudut penguatkuasaan fizikal tetapi juga melalui keupayaan teknologi.
Teknologi pintar kini menjadi senjata baharu dalam sistem keselamatan negara. Penggunaan kecerdasan buatan (AI), analitik data dan sistem pemantauan masa nyata semakin penting dalam memperkukuh kecekapan operasi serta meningkatkan tindak balas pantas dan tepat oleh agensi-agensi penguat kuasa di bawah seliaan KDN.
Selain kekuatan dasar dan operasi, aspek pendidikan keselamatan turut diberi penekanan sebagai pelaburan jangka panjang yang strategik. Peningkatan literasi keselamatan dalam kalangan penjawat awam menjadi agenda utama kerana mereka bukan sahaja pelaksana dasar bahkan turut berperanan sebagai pemangkin kesedaran dan agen perubahan dalam komuniti.
Dengan kefahaman yang mendalam tentang ancaman dan dasar keselamatan, penjawat awam mampu menjadi jambatan yang menghubungkan polisi kerajaan dengan rakyat, sekali gus memperkukuh budaya keselamatan yang inklusif dan menyeluruh dalam masyarakat.
INISIATIF
Satu daripada platform yang bakal dimanfaatkan dalam usaha ini ialah Program Bitara Bual Bicara Menteri (IMC) 2025, yang akan berlangsung hari ini di Auditorium Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara. Program ini akan menampilkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan memberi tumpuan khusus kepada aspek keselamatan dan ketenteraman awam.
Ia merupakan wadah untuk menyemai kefahaman keselamatan negara yang merupakan tanggungjawab bersama yang perlu diperkukuh secara kolektif, bukan sahaja di peringkat dasar tetapi melalui sokongan dan pemahaman rakyat.
Inisiatif sebegini turut membawa mesej pengukuhan keselamatan memerlukan pendekatan menyeluruh yang merangkumi aspek dasar, operasi dan pembaharuan institusi.
Selari dengan komitmen memperkukuh tadbir urus keselamatan negara, penubuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menjadi antara langkah reformasi institusi yang amat signifikan. Agensi ini diwujudkan bagi menangani isu keselamatan rentas sempadan secara lebih terancang dan bersepadu, sejajar dengan semangat reformasi Kerajaan Madani yang menekankan nilai-nilai H.E.M.A.T seperti keberanian untuk berubah, empati kepada rakyat, pemikiran tangkas, penghargaan terhadap inovasi serta ketelusan dalam pentadbiran.
Penubuhan AKPS membuktikan tekad kerajaan dalam memperkukuh benteng keselamatan negara secara proaktif dan mampan. Ia bukan sahaja menjawab keperluan semasa yang semakin mencabar tetapi juga memperlihatkan komitmen terhadap pembinaan sistem keselamatan tangkas, telus dan adaptif bagi melindungi kedaulatan serta menjamin kesejahteraan rakyat Malaysia.
Kesimpulannya, keselamatan negara tidak lagi boleh dianggap sebagai urusan eksklusif pihak berkuasa semata-mata. Ia adalah amanah bersama yang menuntut kesedaran, kerjasama serta tindakan bersepadu antara kerajaan dan rakyat.
Dalam menghadapi era yang penuh ketidaktentuan, kejayaan mempertahankan kedaulatan dan kesejahteraan negara adalah amanah bersama.
Hanya dengan semangat kebersamaan dan kefahaman terhadap peranan masing-masing, kita mampu membina sebuah negara yang bukan sahaja selamat tetapi juga makmur, stabil dan dihormati di persada dunia.-UTUSAN
PENULIS ialah Perunding Latihan Kanan, Pusat Pembangunan Kejurulatihan dan Pengajian Lanjutan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).










