Azeem mampu lari lebih laju - Nazmizan

Azeem mampu lari lebih laju – Nazmizan

Nazmizan Muhammad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas pelari pecut negara, Nazmizan Muhammad menaruh kepercayaan kemampuan pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi melakukan catatan masa bawah 10 saat (s) pada musim ini.

Azeem terlepas peluang membawa pulang pingat gangsa apabila terpaksa berpuas hati di tempat keempat dengan catatan masa 10.35s dalam aksi final 100m pada Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di Lohrheidestadion, kelmarin.

Catatan tersebut menjadi pencapaian terbaik Azeem dalam keseluruhan tiga perlumbaan termasuk aksi separuh akhir dan pusingan pertama sekali gus jauh daripada masa terbaiknya musim ini.

Azeem melakukan catatan terbaiknya musim ini 10.20s sewaktu beraksi pada Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Jacksonville, Florida, Mei lalu.

“Untuk melakukan catatan di bawah 10s bukan perkara yang mudah, namun saya fikir tidak mustahil untuk Azeem melakukannya,” kata Nazmizan yang merupakan pemenang dua pingat emas 100m dan 200m Sukan SEA 2003.

Dalam pada itu, Nazmizan yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Athens 2004 turut berkata, Azeem masih berpeluang melayakkan diri secara merit bagi menyertai Kejohanan Olahraga Dunia di Jepun, September ini.

“Selepas WUG, Azeem dijangka beraksi satu kejohanan di India (Terbuka Olahraga India 2025 Siri Benua Dunia) dan di sini dia ada peluang,” katanya.

Azeem memegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan masa 10.09s yang diciptanya pada Kejohanan Olahraga Dunia bawah 20 di Cali, Colombia, Ogos 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN