PETALING JAYA: Muhammad Azeem Fahmi terlepas podium dalam acara 200 meter (m) apabila permulaannya dibatalkan pada Kejohanan Olahraga Asia Bawah 23 (B-23) Tahun di Ordos, China, semalam dipercayai berpunca daripada tekanan.
Jurulatih olahraga negara, Mohd Nizam Md Yusof berkata, tekanan untuk memenuhi harapan tinggi selepas dia memenangi acara 100m menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kesilapan tersebut.
“Salah satu faktornya ialah keadaan hujan. Kemudian Azeem juga berada dalam tekanan kerana dia mahu mendapatkan podium.
“Untuk perlumbaan terakhir itu, dia mahu memberikan yang terbaik. Mungkin dalam keadaan tekanan tersebut, ketika fasa pelepasan, dia merasakan perlu keluar sepantas mungkin untuk berada di hadapan.
“Namun dalam olahraga, ada perkara yang sukar dijangka. Itulah situasi yang berlaku dan bukan sesuatu yang disengajakan.
“Dia menjadi tumpuan berbanding atlet lain. Selepas memenangi 100m, secara automatik harapan untuk memenangi 200m juga meningkat. Azeem memang menjadi perhatian di sini, malah dia cukup dikenali dan media tempatan juga banyak memberikan tumpuan kepadanya,” katanya.
Seorang lagi pelari negara yang turut beraksi dalam acara 200m adalah Pingiran Aidil Auf Hajam menamatkan saingan di tempat keempat dengan catatan 21.15 saat (s).
Nizam turut berkata, kejadian tersebut perlu dijadikan pengajaran dan yakin Azeem mampu bangkit dalam acara seterusnya, 4x100m lari berganti-ganti, hari ini.
“Selepas ini dia perlu lebih fokus. Tidak mengapa kerana kita masih ada acara lari berganti-ganti dan memang kita memberikan tumpuan kepada acara itu juga. Insya-Allah Azeem akan memberikan yang terbaik nanti,” katanya. – UTUSAN










