Azeem enggan lagi berlindung di sebalik alasan pendedahan

Azeem enggan lagi berlindung di sebalik alasan pendedahan

AZEEM ketika ditemu bual menjelang Kejohanan Olahraga Asia B23 di MSN, hari ini. - IHSAN OLAHRAGA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi menegaskan masanya untuk sekadar mencari pengalaman sudah berakhir apabila kini hanya mahu memburu podium setiap kali turun beraksi bermula pada Kejohanan Olahraga Asia Bawah 23 Tahun (B-23) di China, Khamis ini.

Menurut Azeem, dia kini meletakkan sasaran lebih tinggi terhadap dirinya sendiri kerana mahu membuktikan pelari Malaysia juga berupaya bersaing merebut pingat di pentas Asia, apatah lagi dengan kemunculan ramai pelari muda yang semakin menyerlah.

“Sebab itu saya meletakkan standard yang tinggi untuk diri sendiri kerana saya mahu orang nampak apa yang saya cuba capai.

“Bagi saya, sudah cukup dengan pendedahan dan proses pembelajaran, sekarang adalah masa untuk berlari sepantas mungkin, berada di podium dan mengutip seberapa banyak pingat setiap kali saya turun beraksi,” katanya kepada pemberita di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Pelari berusia 22 tahun itu bakal menggalas cabaran negara dalam tiga acara iaitu 100 meter (m), 200m dan 4x100m pada kejohanan berkenaan.

Bagi acara 4x100m, Azeem akan bergandingan bersama Reeve Kua Man Hong, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Muhammad Armin Zahryl, manakala Muhammad Fakrul Afizul Nasir serta Elvin Yap Zhi Ying disenaraikan sebagai pelari simpanan.

Mengulas persaingan di peringkat Asia, Azeem mengakui bukan mudah buat pelari Asia Tenggara mencabar kuasa besar benua itu, namun percaya peningkatan prestasi atlet pecut negara sejak kebelakangan ini membuktikan Malaysia semakin memiliki kelompok pelari yang mampu memberi saingan.

“Saya tahu bukan mudah untuk pelari Asia Tenggara sentiasa berada pada tahap terbaik di Asia, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita dapat lihat ramai pelari Malaysia menunjukkan peningkatan yang sangat baik.

“Di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia tahun ini pun ramai mencatat masa yang memberangsangkan termasuk Airiel dan Danish yang mampu berlari secara konsisten sekitar 10.3 saat dan ke bawah, dan itu sesuatu yang sangat mengujakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN