PETALING JAYA: Pelari pecut negara Muhammad Azeem Fahmi tidak meletakkan sasaran khusus warna pingat dalam acara olahraga di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 Jepun sebaliknya mahu memastikan beliau terlebih dahulu layak beraksi di pentas final.
Azeem yang akan membuat penampilan kedua di pentas Sukan Asia berkata, sasaran pertamanya adalah melayakkan diri ke final sebelum memikirkan peluang untuk mengulangi atau memperbaiki pencapaian gangsa yang diraihnya tiga tahun lalu.
“Ramai pelari pecut di Asia yang boleh saya labelkan sebagai lebih senior, berpengalaman dan mempunyai lebih banyak pencapaian dalam karier olahraga. Tetapi saya menganggap diri saya masih pelari muda dan perjalanan saya masih panjang.
“Untuk edisi kali ini, saya tidak datang dengan mentaliti sekadar mahu melakukan yang terbaik. Saya datang dengan mentaliti untuk menyambung apa yang saya tinggalkan sebelum ini.
“Sasaran pertama adalah layak ke final dan insya-Allah, jika berjaya, saya yakin sesuatu yang sama atau lebih baik boleh berlaku,” kata atlet berusia 22 tahun itu.
Mengulas mengenai tekanan beraksi di temasya terbesar Asia, pelari dari Teluk Intan itu berkata, skuad olahraga negara akan turun beraksi tanpa dibelenggu tekanan berlebihan.
“Saya tak rasa yang pasukan Malaysia mempunyai apa-apa tekanan sekarang sebab seperti yang kita tahu pun, kita masih lagi tak berjaya untuk menguasai Asia Tenggara sendiri.
“Jadi, kita pun tak boleh nak jangka secara berlebihan apabila kita bertanding di peringkat Asia,” katanya. – UTUSAN










