Azeem kekal dengan pelan Harnden

Azeem kekal dengan pelan Harnden

Muhammad Azeem Fahmi mahu meneruskan pelan latihan yang disusun jurulatihnya di Auburn University, Amerika Syarikat (AS), Ken Harnden. - FB AZEEM FAHMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi memilih untuk terus mengikuti program latihan di bawah bimbingan jurulatihnya di Auburn University, Amerika Syarikat (AS), Ken Harnden sehingga selesai kempen 2026.

Keputusan itu dibuat bagi memastikan persiapannya menuju beberapa kejohanan penting tahun ini, terutama Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September ini tidak terganggu dengan sebarang perubahan yang boleh menjejaskan prestasinya.

Azeem berkata, program latihan bersama Harnden telah dirancang secara terperinci sejak penghujung tahun lalu dan fokusnya kini hanyalah memastikan setiap fasa latihan berjalan mengikut jadual.

“Ketika musim sedang berlangsung dan masih banyak kejohanan besar menanti, saya tidak nampak keperluan untuk membuat perubahan.

“Selepas musim berakhir nanti, barulah kami akan berbincang mengenai langkah seterusnya,” katanya.

Walaupun Olahraga Malaysia (MA) membawa masuk jurulatih pecut dari Afrika Selatan, Thabo Matebedi, Azeem menganggap pelantikan itu sebagai perkembangan positif buat skuad negara.

Menurut pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) itu, dia dimaklumkan oleh rakan-rakan di Auburn bahawa Matebedi memiliki pendekatan latihan yang hampir sama dengan Harnden, sekali gus memudahkan proses penyesuaian jika mereka bekerjasama pada masa depan.

Bagaimanapun, Azeem berpendapat jurulatih baharu itu memerlukan sedikit masa untuk mengenali kekuatan dan kelemahan setiap atlet sebelum merangka program latihan yang benar-benar sesuai.

Dalam masa sama, atlet kelahiran Perak itu menegaskan dia sentiasa bersikap terbuka terhadap perubahan sekiranya ia mampu membantu meningkatkan prestasi, namun segala keputusan hanya akan dibuat selepas berakhirnya musim dan kempen Sukan Asia.

Sementara itu, Azeem bakal menggalas cabaran negara pada Kejohanan Olahraga Bawah 23 Tahun Asia di China bermula Khamis ini menerusi acara 100m, 200m dan lari berganti-ganti 4x100m.

Katanya, penyertaan dalam dua acara individu dipersetujui bersama Harnden sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang menjelang temasya utama tahun ini, dengan sasaran memburu catatan terbaik musim tanpa memaksa diri mencapai prestasi kemuncak terlalu awal.

“Bagi saya, kejohanan ini adalah platform untuk meningkatkan prestasi secara berperingkat. Sasaran utama tetap Sukan Asia, jadi kami mahu segala perancangan bergerak mengikut landasan yang telah ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN