Tampil mohon maaf atau bersedia bayar RM3juta - Peguam Ruhainies - Utusan Malaysia

Tampil mohon maaf atau bersedia bayar RM3juta – Peguam Ruhainies

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Ruhainies memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa menyebarkan fitnah mengenai dirinya di media sosial, termasuk dakwaan menjalin hubungan sulit dengan seorang individu kenamaan.

Langkah itu diambil bagi mempertahankan maruah serta membersihkan namanya susulan penyebaran tuduhan yang disifatkan tidak berasas dan menjejaskan imejnya.

Peguam yang mewakilinya, Mohd Haizal Ayop dari firma guaman EzriLaw berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh Ruhainies di Balai Polis Dang Wangi, Ahad lalu bagi membolehkan siasatan rasmi dijalankan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ruhainies sudah memberikan nama tiga individu terlibat kepada pihak polis dan kami menjangkakan mereka akan dipanggil untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini, kami sudah mengenal pasti kira-kira tiga individu dan masih ada beberapa nama lain yang akan diperoleh.

“Jumlah itu berkemungkinan bertambah kerana isu ini turut melibatkan nama pihak lain,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini, hari ini.

Menurut Haizal, tindakan tegas itu bertujuan menghentikan budaya fitnah yang bukan sahaja menimpa anak guamnya, malah boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Katanya, pihak peguam akan menghantar Notis Tuntutan (LOD) kepada individu terbabit dengan mengemukakan empat tuntutan utama.

“Antaranya, mengakui tanggungjawab terhadap hantaran berkenaan, memadamkan hantaran itu, membuat aku janji untuk tidak lagi memuat naik sebarang perkara berkaitan Ruhainies serta mengemukakan permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat.

“Sekiranya tuntutan itu tidak dipatuhi dalam tempoh tujuh hari, kami akan memfailkan saman sivil di mahkamah.

“Kami menuntut RM3 juta daripada setiap individu sebagai ganti rugi, selain ganti rugi teladan dan perintah injunksi,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili Ruhainies, Fakhrul Azman dari firma guaman Azainie & Fakhrul berkata, pihak polis sudah membuka kertas siasatan berhubung perkara berkenaan.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan fitnah jenayah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung penyebaran kandungan palsu, jelik dan mengancam.

“Kami difahamkan pihak yang diadu akan dipanggil untuk memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dalam beberapa hari lagi, manakala dua lagi individu yang baru dikenal pasti akan turut dimasukkan,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan yang tersebar, Fakhrul menyifatkan tuduhan mengaitkan Ruhainies dengan individu berpengaruh sebagai berniat jahat dan tidak berasas.

“Kenyataan yang dibuat menerusi aplikasi Threads itu seolah-olah memberi gambaran negatif bahawa Anis ‘dibela’ atau ditaja individu berduit.

“Kehidupan Ruhainies adalah sebagai pelakon, namun ada pihak sanggup menyebarkan fitnah yang memberi kesan mendalam terhadap kesihatan mental, kerjaya serta keluarganya, termasuk ibu bapanya,” katanya.

Fakhrul turut mendedahkan hantaran yang didakwa berunsur fitnah dan tular di Threads itu mencatatkan 209 perkongsian semula, 1,400 perkongsian serta lebih 2.7 juta tontonan sebelum tindakan diambil.

Ruhainies pula berkata, dia sudah beberapa kali berdepan dakwaan seumpama itu dan pada awalnya cuba menjelaskan keadaan dengan membuat penafian menerusi media.

Bagaimanapun, pelakon itu mendakwa penjelasannya tidak dipandang serius oleh sesetengah pihak, sekali gus mendorongnya mengambil tindakan undang-undang bagi mempertahankan nama baiknya.

“Beberapa hari lalu, saya menjadi mangsa fitnah. Namun, perkara ini sebenarnya bukan baharu kerana sebelum ini pun saya pernah berdepan situasi sama.

“Sebelum ini, saya cuba menafikan dakwaan berkenaan menerusi media. Bagaimanapun, apabila Anis membuat penafian, ada pihak seolah-olah menganggapnya tidak serius dan berpendapat sesiapa sahaja boleh membuat penafian.

“Jadi, sekarang saya merasakan sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menunjukkan keseriusan saya menangani perkara ini serta menegaskan bahawa dakwaan berkenaan hanyalah tuduhan dan fitnah,” katanya.

Sebelum ini, Ruhainies sering menjadi sasaran kecaman netizen susulan beberapa kontroversi yang mengaitkan dirinya, termasuk kes tangkap khalwat bersama pelakon Aliff Aziz.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini