KUALA LUMPUR: Tiga kementerian akan berbincang dan membuat keputusan mengenai keperluan penutupan sekolah akibat jerebu dengan mengambil kira risiko kesihatan serta kesan terhadap pembelajaran murid.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, perbincangan itu melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Katanya, keputusan mengenai penutupan sekolah perlu berpandukan kepakaran kementerian berkaitan khususnya dalam aspek kesihatan dan alam sekitar.
“Kita dari semasa ke semasa, tiga kementerian ini akan duduk dan membuat keputusan dari semasa ke semasa.
“Langkah menangani situasi jerebu dilaksanakan mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dengan KKM mempunyai kepakaran dalam aspek kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Penataran Literasi Akta Antibuli 2026 (Akta 876) di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Lembah Pantai, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Mengulas lanjut, Fadhlina berharap situasi jerebu tidak berpanjangan memandangkan keputusan membuka atau menutup sekolah mempunyai kesan terhadap kesihatan dan pembelajaran murid.
“Insya-Allah, kita harap tidak berkepanjangan kerana kita tahu kesannya kesihatan kalau kita tak tutup dan juga kesan kepada learning loss kalau kita berterusan tutup sekolah.
“Jadi kedua-dua ini memerlukan pendekatan dan juga pedoman yang sangat penting sebelum kita membuat keputusan-keputusan ini,” katanya. – UTUSAN











