Jadikan tahun baharu permulaan kewangan yang lebih teratur

Jadikan tahun baharu permulaan kewangan yang lebih teratur

KENAIKAN gaji penjawat awam mampu menjadi asas kepada kesejahteraan kewangan yang lebih kukuh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENAIKAN gaji penjawat awam melalui pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula Disember 2024 sudah pasti membawa kegembiraan kepada hampir sejuta penjawat awam di seluruh negara.

Walaupun berita ini diterima dengan penuh syukur, hakikatnya kenaikan pendapatan juga menuntut tanggungjawab yang lebih besar dalam pengurusan kewangan.

Tahun baharu 2025 adalah masa terbaik untuk menjadikan pengurusan kewangan sebagai salah satu azam utama. Kenaikan gaji bukan sekadar peluang untuk meningkatkan gaya hidup, tetapi juga peluang keemasan untuk memperkukuh asas kewangan bagi menghadapi cabaran alaf baharu.

Sering kali, apabila pendapatan bertambah, ada kecenderungan untuk meningkatkan perbelanjaan, termasuk membeli barangan mewah atau menambah komitmen baharu seperti kenderaan. Fenomena ini dikenali sebagai inflasi gaya hidup, yang sering menghalang seseorang daripada mencapai kestabilan kewangan jangka panjang.

Sebagai contoh, seorang penjawat awam yang menerima kenaikan gaji RM500 mungkin terdorong untuk berbelanja lebih kerap di restoran mahal atau membeli barangan tidak perlu. Akibatnya, wang tambahan daripada kenaikan gaji ini habis dibelanja tanpa meninggalkan kesan positif kepada kantung kewangan mereka.

Justeru itu, bagi mengelakkan situasi ini berlaku, penjawat awam harus memahami bahawa kenaikan gaji adalah peluang untuk membina masa hadapan yang lebih stabil. Salah satu langkah penting ialah dengan menyimpan sebahagian daripada kenaikan pendapatan ini. Misalnya, jika kenaikan gaji yang diperoleh berjumlah RM500, sekurang-kurangnya 30 peratus daripadanya iaitu (RM150) boleh diperuntukkan untuk simpanan atau tabung kecemasan.

Tabung kecemasan yang kukuh sangat penting sebagai persediaan untuk menghadapi situasi tidak dijangka seperti kos perubatan, pembaikan kenderaan atau kecemasan lain. Dengan adanya tabungan ini, individu tidak akan terlalu terbeban apabila berdepan cabaran kewangan yang tidak diduga. Selain menyimpan, melabur juga merupakan langkah bijak untuk mengembangkan kekayaan.

Penjawat awam digalakkan memilih instrumen pelaburan berisiko rendah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), Tabung Haji (TH) atau simpanan tetap. Pelaburan seperti ini mampu memberikan pulangan yang konsisten, membantu individu merancang masa hadapan dengan lebih baik. Bagaimanapun, pastikan ia dibuat melalui institusi kewangan yang sah dan berdaftar bagi mengelakkan penipuan.

Dalam masa sama, penjawat awam perlu akui bahawa dalam dunia yang semakin didominasi teknologi, mereka harus peka terhadap ancaman jenayah siber. Penjenayah siber kini lebih sofistikated, sering kali mensasarkan individu yang baru menerima kenaikan pendapatan.

Modus operandi mereka termasuk tawaran pelaburan palsu, menyamar sebagai pegawai bank dan menggunakan teknik manipulasi psikologi. Dalam keadaan panik, mereka mungkin tanpa sengaja berkongsi maklumat sensitif seperti nombor akaun bank atau nombor pin, mengakibatkan kehilangan wang simpanan tanpa disengajakan.

Oleh itu, untuk melindungi diri adalah penting bagi penjawat awam mengutamakan keselamatan maklumat peribadi. Jangan sesekali berkongsi maklumat sensitif dengan pihak yang tidak dikenali. Bank yang sah tidak akan meminta maklumat kewangan peribadi melalui panggilan telefon atau mesej. Selain itu, pastikan laman web atau aplikasi yang digunakan untuk transaksi kewangan adalah terjamin dan selamat. Ironinya, pengurusan kewangan yang baik juga bermula dengan penyediaan bajet bulanan.

Bajet membantu seseorang mengenal pasti keutamaan perbelanjaan seperti pembayaran hutang, keperluan harian dan pendidikan anak-anak. Dengan adanya rancangan kewangan yang jelas, kenaikan pendapatan penjawat awam dapat digunakan untuk meningkatkan kualiti hidup tanpa menjejaskan simpanan atau pelaburan masa hadapan.

Sempena azam tahun baharu 2025, kenaikan gaji penjawat awam ini perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin untuk membentuk tabiat kewangan yang lebih sihat. Amalan seperti menyimpan secara tetap, melabur dengan strategik dan berbelanja secara berhemah adalah asas kepada kestabilan kewangan, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran ekonomi yang kompetitif.

Tidak hanya itu, dalam konteks keluarga, kenaikan gaji penjawat awam juga boleh digunakan untuk memperkukuh kesejahteraan ahli keluarga. Sebagai contoh, sebahagian daripada kenaikan gaji boleh disalurkan untuk pendidikan anak-anak, seperti menyimpan dalam akaun pendidikan atau melanggan insurans pendidikan.

Pendidikan adalah pelaburan terbaik bagi memastikan anak-anak mempunyai masa hadapan yang terjamin dan bebas daripada beban kewangan yang tidak menentu.

BAYAR SEMULA HUTANG
Tambahan pula, jika penjawat awam mempunyai hutang, mereka disarankan untuk menggunakan sebahagian daripada kenaikan gaji bagi melangsaikan hutang yang tertunggak, terutama yang mempunyai kadar faedah tinggi.

Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan beban kewangan, tetapi juga memberikan ketenangan fikiran dalam jangka panjang.

Membayar hutang secara konsisten dan lebih awal juga meningkatkan skor kredit, yang mungkin berguna sekiranya ingin memohon pinjaman untuk tujuan yang lebih besar seperti membeli rumah. Kesan kenaikan gaji penjawat awam tidak hanya dirasai pada tahap individu, tetapi juga pada tahap ekonomi negara.

Dengan peningkatan kuasa beli, permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan tempatan akan meningkat selain merangsang pertumbuhan sektor perniagaan.

Walau bagaimanapun, jika tidak disertai peningkatan produktiviti, situasi ini boleh mencetuskan inflasi yang mengurangkan kuasa beli sebenar.

Oleh itu, tahun baharu 2025 ini harus dimanfaatkan sebagai titik permulaan untuk kehidupan yang lebih terancang, terutama dalam pengurusan kewangan. Kenaikan gaji penjawat awam melalui skim SSPA adalah peluang besar untuk membawa perubahan positif, baik pada tahap individu mahupun negara.

Dengan pengurusan kewangan yang bijak, kenaikan gaji ini mampu menjadi asas kepada kesejahteraan kewangan yang lebih kukuh, memastikan masa hadapan yang lebih terjamin untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Jadikan tahun baharu 2025 sebagai permulaan kepada kehidupan kewangan yang lebih teratur, berdaya tahan serta kalis renjatan ekonomi semasa.-UTUSAN

 

PROFESOR Madya Dr. Azwan Abdullah ialah Ketua Bahagian Jaringan dan Data Raya, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) & Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

MOHAMED Aliff Asyraf Mohamed ialah Pegawai Pemetaan, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN