2025 peluang miliki rumah, bina masa hadapan lebih baik

2025 peluang miliki rumah, bina masa hadapan lebih baik

PENINGKATAN gaji dalam sektor awam bagi fasa pertama sedikit sebanyak akan memberi impak kepada harga dan perancangan pembelian atau pelaburan perumahan yang lebih kompetitif pada tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA sorotan dan perkembangan penting dalam pasaran hartanah di Malaysia sepanjang 2024 boleh dijadikan sandaran bagi tahun ini bagi bakal pembeli serta pelabur di Malaysia.

Berdasarkan Laporan Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) yang diterbitkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), awal tahun lalu, dimulakan dengan kedudukan 218.7 mata iaitu mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan yang lebih sederhana berbanding sebelumnya iaitu sebanyak 0.9 peratus. Walaupun lebih perlahan berbanding 4.3 peratus yang direkodkan pada 2023, namun pasaran kekal stabil di tengah ketidaktentuan ekonomi negara dan dunia secara umumnya. Sentimen pengguna juga nampak lebih berhati-hati.

Berdasarkan laporan tersebut, dari sudut prestasi di dalam negara, lokasi perhatian seperti Kuala Lumpur mencatatkan sedikit penurunan sebanyak -0.8 peratus. Ini menunjukkan pendekatan berhati-hati dalam kalangan pembeli di ibu kota. Sebaliknya, Sabah muncul sebagai negeri yang mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 3.5 peratus, disokong oleh permintaan yang stabil dan peningkatan infrastruktur serantau.

Faktor perkembangan ini mungkin terjadi kerana mendapat sokongan dari kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang memperuntukkan sejumlah RM1.06 bilion bagi membangunkan beberapa infrastruktur utama di Sabah pada tahun lalu. Manakala Kuala Lumpur kekal sebagai pasaran paling premium dengan purata harga mencecah RM780,728, diikuti oleh Selangor (RM535,390) dan Pulau Pinang (RM471,980).

Sebaliknya, Melaka dan Perlis kekal sebagai pasaran paling mampu milik, masing-masing dengan purata harga RM233,255 dan RM235,399.

Selain itu, prestasi mengikut jenis hartanah juga memberi gambaran yang cukup positif terhadap pasaran hartanah di Malaysia. Secara puratanya, rumah teres mencatatkan pertumbuhan stabil sebanyak 1.1 peratus, dengan harga purata sekitar RM453,343 manakala, bagi unit bertingkat tinggi, direkodkan mengalami sedikit penurunan sebanyak -0.7 peratus, walaupun negeri seperti Johor dan Sabah berjaya mencatatkan peratusan prestasi positif.

Rumah berkembar pula menunjukkan pertumbuhan lebih kukuh pada kadar 2.6 peratus, dengan purata harga meningkat kepada RM718,599. Bagi rumah sesebuah pula pertumbuhan adalah sederhana pada kadar 0.5 peratus, tetapi Kuala Lumpur kekal unggul dengan purata harga mencecah RM2.5 juta seunit. Kuala Lumpur, Selangor, dan Sabah mencuri perhatian pelabur dan pembeli untuk tahun lalu.

Berdasarkan laporan tersebut, analisis wilayah di beberapa negeri seperti Kuala Selangor (Selangor), Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang dan Kulai (Johor), bersama Seberang Perai (Pulau Pinang), mengalami pertumbuhan harga tahunan berkisar antara 0.6 hingga 5 peratus berbanding 2023.

Dijangkakan peningkatan julat ini juga akan menjadi lebih besar pada 2026. Sepanjang tahun lalu juga, kawasan tersebut muncul sebagai destinasi pelaburan menarik, didorong oleh permintaan konsisten dan peningkatan aksesibiliti kerana beberapa pembanggunan infrastruktur baharu di wilayah tersebut.

Di kawasan pinggir Kuala Lumpur, unit bertingkat tinggi terus menarik minat pembeli dengan harga yang kompetitif, manakala Sabah dan Sarawak mengekalkan momentum memberansangkan hasil daripada pembangunan infrastruktur yang berterusan.

INFLASI
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, setakat November 2024, inflasi negara meningkat sebanyak 1.8 peratus dengan indeks mencatatkan 133.3 mata. Walaupun kebimbangan mengenai inflasi dan ketidaktentuan ekonomi berlarutan sepanjang tahun, namun pasaran hartanah Malaysia terus menunjukkan kestabilan dan keupayaan dalam menyesuaikan diri dengan beberapa polisi kerajaan yang baharu.

Pada Disember, dilengkapi dengan peningkatan gaji dalam sektor awam bagi fasa pertama yang sedikit sebanyak akan memberi impak kepada harga rumah dan perancangan pembelian mahupun pelaburan perumahan yang lebih kompetitif pada tahun ini.

Dengan cabaran dan jangkaan harga rumah yang akan melambung tinggi pada 2026 kerana beberapa faktor antaranya peningkatan gaji sektor awam untuk fasa kedua pada tahun tersebut ditambah pula dengan pelaburan asing bagi dalam negara yang semakin meningkat, pembeli dan pelabur harus berjaga-jaga untuk tahun berkenaan.

Untuk itu, 2025 merupakan peluang yang sesuai untuk bakal pembeli dan pelabur. Bagi pelabur, jangan lepaskan peluang untuk melabur di kawasan pelaburan yang baharu dan berpotensi tinggi seperti di Johor Bahru, Sabah dan kawasan pinggir bandar Kuala Lumpur. Kawasan ini bukan sahaja menawarkan pertumbuhan harga yang kompetitif tetapi pulangan pelaburan jangka panjang yang kukuh.

Manakala, bagi pembeli rumah pula, jika anda bercadang untuk membeli rumah impian atau ingin memulakan pengalaman dalam pelaburan hartanah, inilah masanya. Jika polisi kerajaan untuk tahun ini masih kekal sama, manfaatkan segala insentif dan skim pembiayaan yang tersedia buat pembeli rumah kali pertama.

Selain itu, kenal pasti kawasan berpotensi tinggi dengan sokongan perancangan infrastruktur yang telah dirancang oleh kerajaan. Kawasan sekitar seperti, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan laluan bagi Transit Aliran Ringan (LRT) 3 antara kawasan yang seharusnya diberi perhatian buat para pelabur dan pembeli.

Untuk tahun ini, satu perkara yang pasti iaitu pasaran hartanah Malaysia kekal relevan sebagai medan yang menjanjikan pertumbuhan dan peluang bagi yang bersedia merebutnya.

Jangan tunggu lebih lama! Tahun 2025 bukan hanya tentang memiliki rumah tetapi membina masa hadapan yang lebih baik, stabil dan kukuh untuk tahun selepasnya.-UTUSAN

DR. Ahmad Fawwaz Saleh ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Harta Tanah, Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya (UM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN