TELUK INTAN: Jumlah pelancong ke Menara Condong di sini yang berkurangan mendadak selepas insiden sekumpulan individu mengibar bendera negara China, Oktober lalu, baru-baru ini kembali meriah dengan kunjungan orang ramai.
Tinjauan mendapati Menara Condong kembali menjadi pilihan pelancong yang melawat bandar ini malah semakin bertambah sejak kebelakangan ini.
Ketika tinjauan kelmarin, ada lima bas dari Negeri Sembilan yang membawa pelancong melawat menara itu.
Pelancong, Dayang Aslina Amim, 53, berkata, sebelum ke Teluk Intan, rombongannya singgah di Kuala Lumpur, Tanjung Karang di Selangor,
Beting Beras Basah di Bagan Datuk dan Menara Condong.
Katanya, dia dan rakan-rakannya sebelum ini khuatir dengan keadaan di menara itu susulan isu bendera China yang berlaku baru-baru ini.
“Namun selepas dimaklumkan isu itu sudah reda, kami melawat menara ini. Secara peribadi saya gembira kerana ini kali kedua saya menjejakkan kaki ke menara dan bandar ini selepas 1999.
“Banyak perkara yang saya suka mengenai Teluk Intan, sejarahnya menarik, makanannya sedap, di sini terdapat restoran udang galah dan mi rojak Mastan yang masih mengekalkan rasa sama selain masyarakat serta peniaga sangat mesra,” katanya ketika ditemui.
Pelancong dari Nilai,Negeri Sembilan, Johari Kamalrudin,43, gembira melihat bandar Teluk Intan kembali menjadi tumpuan pelancong selepas hangat dengan isu mengibar bendera China.
“Sebelum ini rasa tak begitu seronok dengan kejadian mengibar bendera negara asing yang berlaku baru-baru ini dan saya tak menyangka ia menjejaskan kedatangan pelancong seperti dilaporkan dalam akhbar.
“Saya berharap tiada lagi berlaku kejadian yang tidak diingini yang boleh menjejaskan kedatangan pelancong ke sini,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Megat Amerudin Megat Danian berkata, isu mengibar bendera China menjadi pengajaran buat semua agar tidak melakukan tindakan yang boleh menjejaskan banyak pihak. – UTUSAN










