PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan pemilihan Laos yang menghuni ranking 187 dunia sebagai lawan Harimau Malaya pada aksi persahabatan, November ini disebabkan pasukan lain sudah mempunyai komitmen masing-masing.
Badan induk itu menerima kritikan daripada penyokong bola sepak negara apabila menyifatkannya sebagai mengambil langkah undur ke belakang memandangkan Harimau Malaya menduduki tangga ke-133 dunia.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, badan induk bola sepak negara itu tidak dapat mengatur perlawanan menentang 18 pasukan terbaik dari Asia yang sudah mempunyai komitmen dengan jadual masing-masing hingga tahun depan.
“Malah, Pau Marti Vicente selaku ketua jurulatih juga membuat keputusan untuk tidak mengatur perlawanan persahabatan menentang empat pasukan dari Asia Tenggara iaitu Singapura, Thailand, Kemboja dan Timor Leste kerana mereka dalam satu kumpulan dengan kita pada Piala AFF 2024, Disember ini.
“Perlawanan menentang Laos dan India ini adalah persiapan terakhir dia dalam menyediakan pasukan ke kejohanan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Harimau Malaya dijadual menentang Laos di Stadium Port Authority of Thailand (PAT), Bangkok pada 14 November ini sebelum menentang India pada 19 November.
Dalam perkembangan berasingan, Noor Azman memberitahu, FAM menerima keputusan Christopher Raj melepaskan jawatannya sebagai pengurus pasukan bawah 17 (B-17) kebangsaan berikutan kegagalan pasukan tersebut layak ke Piala Asia B-17 2025, Ahad lalu.
“Benar dia (Christopher) telah melepaskan jawatan sebagai pengurus pasukan B-17 kebangsaan dan Sekretariat Agung FAM telah pun menerima surat peletakan jawatan tersebut pada Isnin (semalam). FAM menerima dan menghormati keputusannya.
“Sekretariat Agung FAM juga telah meminta Christopher, ketua jurulatih B-17 dan B-20 kebangsaan serta Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell menghantar laporan pasukan secepat mungkin.
“Laporan itu akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia FAM yang dipengerusikan oleh Datuk S. Sivasundaram yang juga Timbalan Presiden FAM untuk post mortem dan diperhalusi,” katanya. – UTUSAN










