BULAN Ramadan datang dan pergi adalah perkara biasa. Namun nasihat Rasulullah SAW yang bermaksud “Berapa ramai orang yang berpuasa, yang tidak mendapat sesuatu apa pun, selain dari lapar dan dahaga” merupakan satu peringatan yang serius. Kenapakah ibadat yang mendapat pahala dan balasan baik dari Allah SWT, tiba-tiba menjadi sia-sia?
Pengalaman kita tentang ketibaan 2020 dengan Covid-19 mungkin memberikan sedikit cahaya yang dapat menggambarkan pesanan Nabi Muhammad SAW di atas, iaitu bagaimanakah ujian dan dugaan yang diberikan sebelum ini, nampaknya tidak pernah mengajar manusia supaya memahami dan melaksanakan dasar tamadun dan peradaban mengikut kerangka ajaran al-Quran dan perutusan Nabi Muhammad SAW.
Oleh itu, Covid-19 biarlah menjadi tiupan loceng yang menyedarkan manusia tentang salah laku mereka selama ini.
Umat ini perlu menyedari kelalaian dan kelemahan mereka selama ini dalam melaksanakan perintah Allah yang sewajarnya dalam semua aspek kehidupan mereka.
Kita perlu menstrukturkan semula kehidupan dalam semua aspek. Menurut kandungan doa Nabi Ibrahim ketika berdoa kepada Allah SWT supaya dibangkitkan Rasul akhir zaman, “Wahai Tuhan kami, utuskanlah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Kamu, dan mengajarkan mereka isi kandungan kitab (al-Quran) serta hikmah kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang maha kuasa lagi maha bijaksana” (Surah Al-Baqarah, ayat 129)
Lalu Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW dari bangsa Arab, untuk mengajar kandungan al-Quran dari segi pembacaan, pengajaran, hikmat ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan sehingga membersihkan jiwa dan hati manusia keseluruhannya.
Kita mungkin membaca dan menghafal al-Quran, tetapi tidak memahami kandungan dan mesejnya yang penuh hikmah dan kebijaksanaan, malah tidak menguasai ilmu zahir dan batinnya yang dapat membersihkan hati dan jiwa manusia seluruhnya.
Tanpa rukun dan prinsip utama dari kitab suci al-Quran ini, maka manusia menjadi sesat dan hilang pedoman, malahan ketika mengerjakan ibadat sekalipun, mereka juga tidak menghayati hikmah dan pengajarannya, maka ibadat itu hanya merupakan amalan lahir dan simbolik sahaja.
Semoga segala dugaan dan ujian Allah yang terakhir ini, umat kita akan bangun dengan penuh kesedaran bagaimanakah set masyarakat Islam yang baik harus disusun semula dan apakah corak kehidupan menyeluruh yang mempunyai kualiti dunia dan akhirat.
Ibadat dalam Islam adalah amalan yang seragam dan sama diamalkan oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Sembahyang, puasa, zakat dan haji dikerjakan dengan syarat rukunnya yang sama, kecuali dalam beberapa amalan yang mungkin terdapat perbezaan.
Tetapi sayangnya kita bersatu ketika menunaikan ibadat dan dalam hubungan kita dengan Allah, namun dalam urusan lain, kita tidak.
Kita bersatu ketika menunaikan suruhan Allah, supaya amal ibadat kita diterima Allah dan merupakan hubungan kita secara langsung dengan Tuhan, yang merupakan kekuatan kita atas dasar peribadi. Tetapi tidak punya tanggungjawab secara kolektif untuk menunaikan ajaran agama kerana merasakan bahawa kewajipan kita telah selesai dengan hanya menjaga amal ibadat dengan Allah, tidak sesama umat, sesama sendiri.
Dari sudut peribadi, amalan individu Islam amat kuat tetapi dari segi tanggungjawab keislaman terhadap masyarakat, jamaah atau sesama sendiri, nampaknya kita tidak sekuat mana.
Tanpa kesatuan sikap, budi bicara, pegangan nilai moral dan akhlak, kita tidak berpadu, malah dunia Islam menunjukkan contoh yang negatif dengan berlakunya keganasan dan pembunuhan sesama sendiri seperti mengakibatkan bilangan pelarian perang yang banyak, terkorban di tengah lautan, azab dan sengsara dalam cuaca sejuk di negara Barat dan sebagainya, yang mencemarkan ajaran Islam itu sendiri.
TANGGUNGJAWAB KOLEKTIF
Mungkin tanggungjawab individu terhadap Tuhan dalam ritual amat tinggi dan baik tetapi tanggungjawab kolektif terhadap sesama umat, tugasan agama, kewajipan dunia, sikap terhadap orang lain serta tatalaku hidup nampaknya amat lemah dan masih ketinggalan di belakang.
Masyarakat Islam haruslah sedar bahawa asas kesatuan dalam amal ibadat Islam merupakan pengajaran yang baik dalam kesatuan ummah dan masyarakat Islam sendiri, dengan formulanya yang amat rapi dari segi syariah, akidah dan akhlak.
Umat Islam memerlukan kesedaran yang tinggi untuk mengubah sikap dan pendirian mereka selama ini kerana hidup di dunia ini mempunyai tiga hubungan iaitu hubungan dengan Allah, sesama manusia dan alam.
Ketiga-tiga hubungan ini haruslah di sepadukan dalam niat dan amalan kita sehari-hari, sama seperti kita berpuasa selama sebulan dengan syarat rukunnya yang sama.-UTUSAN
TAN Sri Dr. Ismail Ibrahim ialah bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Duta Besar Malaysia di Arab Saudi.










