DUNIA politik tidak pernah sepi dengan kehadiran golongan selebriti tidak kira penyanyi atau pun pelakon. Ada selebriti yang terang-terangan mengumumkan penyertaan mereka bersama parti politik tertentu selain ada yang memilih jalan selamat dengan menyatakan hanya ‘singgah-singgah’ selepas mendapat jemputan.
Langkah golongan selebriti menceburi bidang politik bukan sahaja menjadi daya penarik kepada parti, malah merupakan satu dimensi baharu dan semua pihak harus terbuka serta memberi peluang kepada mereka.
Bagaimanapun, perlu diingatkan, walaupun selebriti tersebut berjaya dalam bidang hiburan dan mempunyai pengikut yang ramai, ia bukan penentu kejayaan dalam kerjaya politik kerana mereka masih perlu banyak belajar untuk menjadi pemimpin politik.
Pendek kata, apabila menjadi selebriti ia bukan jalan pintas untuk terus terjun menjadi pemimpin politik yang diterima rakyat, perkara itu juga terbukti apabila ramai artis yang kecundang pada pilihan raya selepas dicalonkan.
DATUK AHMAD IDHAM AHMAD NADZRI
Pengarah dan juga pelakon ini antara nama yang dicadangkan oleh Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan sebagai calon pada PRU15 untuk bertanding di Parlimen Port Dickson.
Nama bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu juga difahamkan telah dibawa ke pucuk pimpinan sebagai calon GTA negeri menerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Sebelum ini, Pengarah filem Adnan Sempit dan Hantu Bonceng itu menyertai Bersatu namun, bertindak meninggalkan parti berkenaan.
Ini kerana wujud perbezaan perjuangan dari sudut visi dan ideologi dengan pemimpin-pemimpin tertinggi parti tersebut.
Justeru, penerbit dan pengarah terkenal itu mengumumkan, hatinya lebih tertarik untuk menyertai GTA yang didakwa tidak berpaksikan kepada parti politik semata-mata selain turut dilantik sebagai Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan.
ALTIMET
Penyanyi rap terkenal Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Altimet ini sah menyertai PKR dan penyertaannya diumumkan sendiri oleh Presiden PKR, Datuk Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu.
Beliau juga menang pemilihan Ketua Cabang PKR Ampang pada Julai dengan memperoleh sebanyak 743 undian sekali gus menewaskan pesaing terdekatnya yang juga, pelakon dan pengarah, Datuk Hans Isaac.
Menurut laman web Pemilihan PKR 2022, penyanyi lagu ‘penyamun’ itu menang dengan kelebihan sembilan undi apabila memperoleh 743 undi manakala Hans 734 undi.
Baru-baru ini tular pula satu rakaman dengan paparan Altimet menyanyikan sebuah lagu ‘Penyamun’ di majlis yang disertai pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan lagu itu menjadi perhatian ramai kerana dikatakan lirik runut bunyi itu yang memerli sesetengah individu.
DATUK ADI PUTRA
Hero filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ini akan menjadi jentera Pemuda BN dan berkempen ke setiap negeri menjelang PRU15 dan perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Pelakon berkenaan juga dipilih untuk menjadi Ikon BN Selangor dan baru-baru ini tular gambar Adi bersama Asyraf sambil memegang baju BN sekali gus menimbulkan pelbagai persepsi rakyat termasuk ada yang mengatakan Pemuda UMNO mahu tumpang populariti.
Ia selepas bintang teraju utama filem yang diinspirasi daripada kisah pahlawan Melayu berjuang menentang penjajahan British, Mat Kilau Imam Rasu atau Mohamed Ibrahim itu meraih kutipan pecah panggung hampir RM100 juta.
Bagaimanapun, penglibatan Adi dalam bidang politik kurang disenangi pihak tertentu apabila beliau dilabel sebagai ‘lalang’ setelah menyatakan sokongan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas PH menang PRU14.
DATUK EIZLAN YUSOF
Pelakon Dendam Aurora ini dilantik sebagai Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan berkuat kuasa pada 12 Oktober lalu dan pelantikan itu telah dipersetujui oleh kesemua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPN) Wilayah Persekutuan.
Sebelum ini, beliau bersama Ahmad Idham dilaporkan menyertai Bersatu dan turut dilantik sebagai Setiausaha Kebudayaan dan Perunding Kreatif di Kementerian Luar namun, pelantikan tersebut tidak bertahan lama selepas kontrak kedua-dua mereka ditamatkan.
Kedua-dua pelakon tersebut dilantik memegang jawatan tersebut pada 1 November tahun lalu dengan pelantikan itu diumumkan sendiri oleh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Tidak lama selepas itu, Eizlan dan Ahmad Idham hadir ke mesyuarat penubuhan Gagasan Bangsa (komponen bukan parti politik) yang bergabung dengan GTA bagi membincangkan penyertaan dalam PRU15.
FARID KAMIL
Beliau memberi bayangan akan menyertai PKR selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober lalu sekali gus menyertai barisan selebriti yang sedia ada bersama parti komponen PH itu.
Gambar pelakon itu dimuat naik Anwar dalam Instagram rasmi beliau yang memperincikan tujuan kunjungan adalah untuk membincangkan perkara berkaitan seni dan budaya, selain mengenai atmosfera industri perfileman negara.
Farid dalam beberapa hantaran di media sosialnya menyatakan sokongan secara terbuka terhadap Anwar. Malah, dia turut memberikan lima sebab mengapa Pengerusi PH itu layak menjadi Perdana Menteri ke-10.
Pertemuan empat mata itu menerima pelbagai reaksi dan komen warga maya yang mengikuti media sosial Anwar dan pelakon filem Remp-It dan Lagenda Budak Setan itu.
DATUK JUREY LATIFF ROSLI
Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) itu mengumumkan beliau akan bertanding di Lenggong, Perak mewakili PKR sekali gus menjadi ‘orang seni’ pertama disahkan bertanding pada PRU15.
Jurey yang juga anak jati Lenggong dilaporkan berkata, dia membuat keputusan menyertai politik kerana mahu membangunkan ekonomi pelancongan Lenggong yang ketika ini kurang dikenali sebagai Tapak Warisan Dunia.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Anwar dan timbalannya, Mohd. Rafizi Ramli kerana memberi kepercayaan untuk dirinya bertanding di Parlimen Lenggong yang ini disandang oleh Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah daripada BN.
DATUK KHAIDHIRAH ABU ZAHAR
Lebih popular dengan panggilan Dira, pelakon ini mengikut jejak bapanya terlibat dalam politik dan dia menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu
Susulan kemenangan itu, beliau dilantik menjadi Timbalan Speaker DUN Melaka sekali gus menjadi wanita pertama yang menyandang jawatan berkenaan.
Dira yang merupakan anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka kelapan, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Isnin mula bergiat aktif dalam dunia politik sejak tahun 2015, beliau juga merupakan pemegang Sarjana Dasar Awam Universiti Malaya.
LAIN-LAIN
Antara anak seni lain yang terlibat serius dalam politik ialah ialah Aishah (Pas dan BN), Shahrol Shiro (BN), Aishah Herman Tino (Bebas), Dayang Ku Intan (PKR), Datuk Afdlin Shauki (PKR), Datuk Hans Issac (PKR) dan Anne Ngasri (BN). – UTUSAN










