Tanding dua kerusi: Tamak atau strategi?

Tanding dua kerusi: Tamak atau strategi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN segelintir pemim­pin parti politik bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam mana-mana pilihan raya umum memang tidak boleh dihalang.

Bagaimanapun, situasi itu menimbulkan persoalan tentang kemampuan pemimpin itu untuk menjalankan tugas mereka sebaik mungkin. Malah, ada petikan kata popular menggambarkan situasi itu – ‘satu pun ada yang tidak terjaga, apatah lagi dua’.

Tindakan itu juga seolah-olah menunjukkan parti-parti politik di Malaysia ketandusan pe­mimpin yang boleh diketengahkan untuk menjadi calon pilihan raya.

Keputusan enam negeri di bawah kerajaan Pas dan Pakatan Harapan (PH) yang tidak membubarkan DUN masing-masing serentak dengan kerajaan Persekutuan bagi membuka laluan PRU-15 juga membuka peluang golongan ini mencuba nasib di dua kawasan.

DATUK SERI MOHAMAD HASAN

Beliau mengumumkan hasrat untuk bertanding kerusi Parlimen pada PRU15 dengan kerusi Parlimen Rembau merupakan kawasan pilihan sekali gus memaksa penyandang, Khairy Jamaluddin ke kerusi baharu yang belum diketahui.

Difahamkan, strategi ini me­rupakan usaha Barisan Nasional (BN) untuk meraih kemenangan besar dan membentuk kerajaan selepas PRU-15. Ia dilihat satu keputusan tepat kerana Mohamad dan Khairy merupakan nama besar yang ada kelebihan tersendiri.

Ketika ini, Mohamad yang terkenal dengan jolokan Tok Mat merupakan Ketua UMNO Bahagian Rembau dan ADUN Rantau, kerusi yang disandang­nya sejak 2004. Diterima baik oleh masyarakat setempat dilihat satu jaminan terhadap peluangnya memenangi kerusi Parlimen Rembau.

DATUK SERI AMINUDDIN HARUN

Menteri Besar Negeri Sembilan ini sah bertanding di Parlimen Port Dickson pada PRU15 selepas diumumkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan penyandang kerusi berkenaan.

Beliau yang juga merupakan Naib Presiden PKR sememangnya sejak awal lagi disebut mengambil alih tempat Anwar selepas bertindak menukar keahlian PKR dari Tampin ke Port Dickson tahun ini.

Aminuddin kemudian ber­tanding merebut jawatan Ketua Cabang Port Dickson dalam Pemilihan PKR 2022, April lalu dan menewaskan penyandang, Datuk M. Ravi yang merupakan Timbalan Speaker DUN Negeri Sembilan.

Ketika ini, Aminuddin ialah penyandang kerusi Sikamat dan menang di kawasan berkenaan sejak 2008 serta dilantik menerajui kerajaan Negeri Sembilan selepas PRU-14.

DATUK SERI AMIRUDIN SHARI

Kerusi Parlimen Gombak secara tiba-tiba kecoh apabila menjadi tumpuan nama-nama besar dan antara yang disebut-sebut ialah Menteri Besar Sela­ngor ini bagi mencabar penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada PRU15.

Bagaimanapun, Amiruddin menyerahkan kepada pucuk pimpinan PKR untuk menentukan sama ada beliau akan dicalonkan dan beliau bersedia jika dicalonkan di situ.

Amirudin merangkap ADUN Sungai Tua sejak tiga penggal lalu dilantik sebagai Menteri Besar selepas PRU14 bagi menggantikan Mohamed Azmin yang ketika itu dilantik Menteri Hal Ehwal Ekonomi di bawah pentadbiran, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sebelum menjawat jawatan Menteri Besar Selangor beliau merupakan Exco Kerajaan negeri Selangor dan pernah memegang portfolio Exco Perberdayaan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi.

TENGKU ZULPURI SHAH RAJA PUJI

Pada PRU15 nanti, beliau akan menjadi perhatian kerana bakal bertanding di dua kawasan iaitu di kerusi Parlimen Lipis dan satu kerusi DUN yang belum diumumkan lagi.

Keputusan berkenaan juga menunjukkan Tengku Zulpuri berpindah kawasan dan tidak mempertahankan kerusi Parlimen Raub yang dimenanginya pada PRU14.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, Tengku Zulpuri merupakan satu-satunya calon yang bertanding dua kerusi untuk DAP iaitu di Parlimen Lipis dan satu kawasan DUN yang akan diumumkan pada minggu hadapan.

Difahamkan, langkah itu me­rupakan strategi penting yang dipertimbangkan oleh DAP de­ngan meletakkan muka baharu tetapi dengan pengalaman mengendalikan DUN masing-masing.

DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL

Menjadi ADUN Pantai Jerejak di Pulau Pinang dan dalam masa yang sama merupakan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu di Kedah. Itu antara kehebatan Saifuddin membahagikan masa untuk menjaga kedua-dua kawasan di negeri yang berjiran itu.

Pada PRU15 nanti sudah ada bayangan untuk beliau mempertahankan kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu namun, setakat ini tiada pengumuman rasmi dilakukan.

Isu mengenai Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR pernah kecoh di persidangan DUN Pulau Pinang kerana beliau tidak hadir ketika pembentangan Bajet DUN Pulau Pinang pada Oktober 2020.

DATUK SERI HASNI MOHAMAD

Beliau yang merupakan ADUN Benut mengesahkan akan bertanding kerusi Parlimen pada PRU15 nanti dengan beberapa kerusi dikaitkan de­ngan Pengerusi UMNO Johor itu, antaranya Simpang Renggam, Pontian atau Tanjung Piai.

Sebelum ini, beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Pontian apabila memenangi kerusi itu pada PRU11 sebelum ditan­dingi pula oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menang selama tiga penggal sejak 2008.

Bekas Menteri Besar Johor merangkap Ketua UMNO Bahagian Pontian sejak 2004 itu yang bertukar ke kerusi DUN Benut pada 2008 dan kekal menyandangnya sehingga kini, dilantik mengetuai kerajaan negeri pada 28 Februari 2020.

DATUK SERI MUSTAPA MOHAMED

Beliau pada PRU14 menang di kerusi Parlimen Jeli dan DUN Air Lanas atas tiket BN dan pada PRU15 nanti akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dengan menggunakan logo Pas.

Mustapa atau mesra dengan panggilan Tok Pa dalam masa yang sama masih kekal sebagai ADUN Air Lanas kerana DUN Kelantan masih belum dibubarkan oleh kerajaan Pas.

Beliau selepas PRU14 me­ngumumkan keluar UMNO selepas lebih 40 tahun berkhid­mat dalam parti itu dan bergerak sebagai wakil bebas sebelum mengambil keputusan menyertai Bersatu.

Nilaik

DAP menamakan ADUN Kota Kemuning itu sebagai calonnya untuk kerusi Parlimen Klang pada PRU15 sekali gus menyaksikan Charles Santiago tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen itu yang disandangnya selama tiga penggal.

Sebelum ini, beliau yang sudah dua penggal bergelar ADUN secara terbuka menyatakan minat untuk bertanding di kerusi Parlimen dan merasakan de­ngan pengalaman yang ada layak untuk dirinya dinaikkan ‘pangkat’.

Ganabatirau yang juga Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada akan mempertahankan kerusi DUN Kota Kemuning apabila DUN Selangor dibubarkan nanti.

Bagaimanapun, Ganabatirau perlu bersedia kerana ada khabar angin Santiago akan digantikan mendapat bantahan kumpulan perniagaan, NGO dan penduduk di Klang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN