KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mesti membuat laporan polis supaya siasatan berhubung pihak tertentu yang didakwa menekan beliau supaya mencampuri urusan mahkamah, dapat dimulakan.
Kegagalan ahli Parlimen Pagoh itu berbuat demikian boleh ditafsirkan melanggar Seksyen 202 Kanun Keseksaan kerana tidak melaporkan atau membuat aduan kepada polis berhubung kejadian jenayah di dalam pengetahuannya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, hal itu adalah mustahak kerana Muhyiddin adalah Ketua Kerajaan dan sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada orang ramai.
“Perdana Menteri wajib menyatakan dengan jelas jika ada atau tidak laporan polis dibuat secara peribadi atau melalui pegawai pegawainya berkaitan ugutan dan tekanan kerana ini adalah satu jenayah.
“Ini juga bersangkut dengan persepsi rakyat apabila sebagai seorang pemimpin difikirkan boleh mencampuri urusan mahkamah. Jadi, kalau betul terlibat dalam isu di mahkamah laporan polis patut dibuat.
“Pemimpin kena mengubah sikap dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada tanpa rasa ‘terikat’,” katanya ketika dihubungi semalam.
Seksyen 202 Kanun Keseksaan memperuntukkan individu yang mempunyai maklumat tentang kejadian jenayah tetapi merahsiakannya boleh dipenjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dalam perutusan khas Perdana Menteri kelmarin, Muhyiddin mendakwa menerima tekanan beberapa pihak supaya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.
Beliau bagaimanapun tidak menyebut secara khusus berkenaan pihak yang dikatakan menekan beliau itu.
Beberapa ahli Parlimen dari UMNO yang berdepan tindakan mahkamah termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak turut berdepan kes mahkamah dan masih dalam perbicaraan.
Terkini, Ahli Parlimen Muar (Bebas), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Sementara itu, Presiden Majlis Peguam Malaysia, AG. Kalidas dalam satu kenyataan turut menggesa Perdana Menteri menamakan individu yang didakwa melakukan tindakan itu dan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tanpa berlengah.
“Hal berkaitan campur tangan mahkamah adalah sangat membimbangkan dan telah melanggar beberapa kesalahan jenayah termasuk salah guna kuasa jika benar berlaku,” katanya.
Sementara itu, peguam, Mior Nor Haidir Suhaimi pula berkata, walaupun tidak menyebut secara terperinci berkenaan pihak yang dimaksudnya, Muhyiddin telah mencipta persepsi yang boleh ditafsir dalam segenap sudut termasuk melibatkan pemimpin-pemimpin UMNO.
Jelasnya, jika ada pihak berpandangan kenyataan Muhyiddin tidak benar, mereka wajar membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan itu, sekali gus membersihkan nama dan imej mereka.
“Jika Muhyiddin membuat kenyataan ada cubaan untuk menarik sokongan mereka kerana mereka tidak dapat apa yang mereka mahukan, ini adalah satu tuduhan yang besar. Jadi, pihak yang merasakan bahawa mereka mungkin dianggap sebegitu yang perlu mengambil tindakan susulan,” katanya. – UTUSAN










