Sejak mula berperang dan memesrai kehidupan dengan wabak Covid-19, kehidupan kita ternyata berbeza sama sekali. Bagi generasi Y dan generasi sebelumnya, sudah tentu dapat merasakan perbezaan ketara dunia kebebasan tanpa virus mengancam nyawa dan kebahagiaan mengecapi kebebasan itu tidak dapat diterjemahkan melalui bait kata atau lakaran di kanvas-kanvas artis.
Salam takziah kepada semua waris mangsa Covid-19. Mungkin ada kini berstatus yatim piatu, ibu tunggal, bapa yang keseorangan, majikan kehilangan berjuta-juta keuntungan, golongan pekerja hilang mata pencarian, murid dan pelajar rindukan guru dan sekolah. Namun, pantas dan tangkas menjiwai pendidikan norma baharu yang masih mempunyai pekerjaan pula menghitung-hitung waktu, bilakah kesulitan ini akan segera berakhir? Ibarat pepatah, datang seperti ribut, pergi seperti semut.
Demikianlah hebatnya sastera Melayu lama dalam kilat ada kilaunya. Bukan itu sahaja, pepatah juga sudah mengajar kita, jika ada angin tentulah ada pokoknya!
Kepada semua perwira kami, petugas barisan hadapan, orang Barat bermain pedang, mana nak sama batang cangkul, mana berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Doa kami akan terus mengiringi petugas barisan hadapan. Anda ibarat membujur lalu melintang patah. Kami bangga dengan anda!
Demikian, sastera setia bersama-sama kita walau dalam apa pun keadaan tanpa disedari. Cabaran mendepani pandemik Covid-19 menerobos banyak pula isu lain yang berlaku dalam negara kita sayangi ini. Isu yang sudah pasti berpaksi daripada sarang demokrasi di bangunan megah berdiri di atas tanah dipenuhi kehijauan di ketinggian 61 meter dari aras laut dan merupakan puncak bukit berlokasi strategik di Kuala Lumpur itu dipilih bagi didirikan simbol demokrasi terulung di negara ini.
Signifikan puncak tinggi dan kehijauan asli seolah-olah hasrat memperlambangkan semangat yang subur dan berwaja tinggi dalam membijaksanakan pemerintahan berteraskan sistem demokrasi raja berperlembagaan dalam memacu pentadbiran negara dan rakyat kekal hidup aman damai di dalamnya sepanjang zaman. Malah, lokasi ini juga berhampiran dengan Taman Bunga Kuala Lumpur, cuma berjarak 1.5 kilometer dan juga merupakan nadi Taman Tasik Perdana, kebanggaan kita semua. Kami sentiasa mendoakan agar sarang demokrasi ini terus mengharum dan memperindah mata hati kita tentang negara yang gemilang dan harmoni.
Kami membawakan kepada anda bagaimana sastera meneliti persekitarannya juga memaknakan setiap inci kehidupan yang dilalui oleh seseorang. Contoh paling dekat kami kongsikan, bagaimana institusi yang mengurus tadbir demokrasi seharusnya bersifat mengharumkan institusi ini seperti mana sifat lokasinya dipilih. Pohon-pohon dan bunga-bunga yang indah di taman bunga berdekatan yang berpanas berhujan, turut ada dirosakkan serangga perosak dan satu demi satu bunga yang indah itu akan layu dan gugur dan pohon yang subur juga akan tumbang. Jika bukan tangan manusia, pohon serta bunga ini tetap juga akan musnah kerana demikianlah hukum alam.
NAFAS PERTAMA
Begitulah harapan kita melihat institusi yang berdiri megah sejak 1963 itu berdepan dengan agen-agen menjana pendebungaan atau agen-agen yang akan menjana demokrasi yang bijaksana, tetapi juga tetap berisiko dengan serangga perosak yang akan merosakkan institusi ini, jika rakyat tidak bijak untuk mengambil peduli serta memilih yang terbaik bagi mencapai perpaduan, kesepaduan dan penyatupaduan.
Kita doakan yang baik-baik sahaja, sudah tentu kepada Yang Maha Kuasa tempat kita memohon pertolongan, agar negara kita ini diurus tadbir oleh mereka yang akan sanggup mengorbankan dirinya ibarat pohon-pohon sebagai sumber oksigen penghuni kota dan bunga-bunga yang cantik kita pandang di taman-taman bunga itu yang bersedia dalam apa jua pun cuaca.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah badan utama yang menerbitkan hasil karya tetapi sastera bukanlah suatu kegiatan komersial. Ia adalah suatu penghasilan seni yang tidak semestinya mendatangkan pulangan besar lebih-lebih lagi di Malaysia sedangkan kegiatan sastera adalah penting bagi negara. Maka sokongan daripada pihak awam iaitu kerajaan adalah diperlukan untuk sastera terus mekar dengan identiti dalam persada keunggulannya. Sastera melatih kita menjadi pengguna bahasa yang berupaya mencerakin ilmu, pengalaman dan cakna dalam kehidupan kita ke arah insan yang optimis, tidak kiralah siapa pun kita!
Sastera itu sebenarnya nadi kehidupan. Bermula anda mendapatkan semula nafas pertama sebaik sahaja bangun daripada mati yang dipinjam, sastera terus sahaja mengalir dalam darah. Mengapa tidak, kerana sastera yang akan membawa anda memahami bahawa kehidupan bermula lagi hari ini.
Melalui kehidupan yang serba mencabar ini, anda akan merasakan kehidupan ada pasang surutnya, malah ada kala seperti dirempuh badai, anda ingin ada tempat yang teguh untuk berdiri, anda perlukan bumbung tempat berteduh, anda perlukan semangat untuk menjalani segala rintangan yang anda hadapi dalam kehidupan.
Memang tepatlah jika sarang demokrasi kita itu berhampiran dengan taman bunga, moga-moga ada doa daripada bunga-bunga yang indah berwarna-warni yang dijaga dipelihara serta tumbuh-tumbuhan di persekitarannya kerana pohon dan bunga juga adalah makhluk. Doa-doa bunga inilah yang akan sampai ke langit ketujuh.
Kami akhiri perkongsian ini dengan peribahasa, semoga dapat bersama-sama kita hayati. Adik-beradik sehati, tanah pun boleh jadi emas. Sayangi negaraku.
Rabi’ Ahtuladawyah Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) dan Profesor Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pengarah Bahagian Hal Ehwal Korporat, Jaringan Industri dan Perhubungan Antarabangsa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).











