‘Orang Sabah, Selangor pun minta tolong saya’ - Utusan Malaysia

‘Orang Sabah, Selangor pun minta tolong saya’

Norhizam Hassan Baktee
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pernah tular beberapa kali berikutan sikapnya yang lantang dan dianggap agresif oleh netizen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee menganggap perkara itu banyak membantu karier politiknya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka itu me­ngakui, beliau merupakan sa­tu-satunya wakil rakyat bertaraf ADUN yang dikenali di seluruh pelosok negara, sehinggakan ada masyarakat dari luar negeri ini seperti Sabah dan Selangor menghubungi­nya meminta bantuan.

Katanya, situasi itu berlaku saban minggu ketika pandemik Covid-19, sehinggakan beliau terpaksa menjelaskan kepada individu tersebut cara bagaimana untuk meng­hubungi ahli Parlimen atau ADUN negeri berkenaan.

“Sehingga ada orang dari Sabah, dari Selangor pun hubu­ngi saya minta bantuan. Me­reka minta sumbangan wang tunai dan makanan, ada yang terdesak. Saya respons mudah sahaja, saya jelaskan, abang ada wakil rakyat, ahli Parlimen dan ADUN di situ boleh bantu abang.

“Saya tak boleh beri orang luar sebab hujung tahun akan diaudit. Duit ini kamu beri kepada siapa? Duit ini kamu belanja kepada Selangor, tempat kamu sendiri susah kenapa tak bantu? Jadi kita jelaskan dengan dia agar dapat sedikit maklumat dan dia boleh berjumpa dengan wakil rakyat yang mewakili kawasan itu,” katanya.

Minggu lalu, tular dalam media sosial, rata-rata netizen memuji usaha Norhizam meng­agihkan kit makanan yang disasarkan kepada kira-kira 7,000 keluarga dalam kawasan diwakilinya.

Dalam video tiga minit dan 33 saat yang dimuat naik menerusi akaun Facebook miliknya, Aku YB ke Kau YB, Norhizam menyatakan, sumbangan barangan keperluan seperti telur, beras dan minyak masak itu bagi meri­ngankan kesulitan penduduk yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, bercakap berkenaan hala tuju politiknya sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pemba­ngunan Usahawan dan Koperasi negeri itu berkata, beliau masih belum memutuskan untuk menyertai mana-mana parti.

Jelasnya, melihat kepada citra politik semasa dan trend pemikiran pengundi, beliau tidak menolak kemungkinan untuk bertanding atas tiket bebas, meskipun perlu berhadapan pertandingan tiga penjuru.

Tambahnya, keyakinan itu bersandarkan kepada perkhidmatannya yang boleh disifatkan sebagai cemerlang berikutan sering turun padang untuk menyantuni pengundi.

“Mudah sahaja, rakyat akan mengundi calon yang sudah terbukti bekerja untuk dia. Tak mungkin mereka akan undi orang yang mereka tidak kenali.

“Bak kata orang Melayu, orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Saya sudah berbudi rakyat sudah rasa, tepuk dada tanyalah selera,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN