KUANTAN: Gara-gara provokasi melampau pada hari kedua operasi memusnahkan pokok durian Musang King yang ditanam secara haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub, polis segera menempatkan Pasukan Gerakan Khas (PGA) di kawasan itu.
Terbaharu, pekebun haram tersebut merosakkan lantai simen jambatan di kawasan dusun berkenaan semalam di samping meletakkan kenderaan di tengah jalan.
Tindakan tersebut menyebabkan operasi yang memasuki hari ketiga semalam terhenti apabila penguat kuasa terpaksa membaiki jambatan yang rosak.
Ketua Penolong Pengarah (penguat kuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nor Azirim Ahmad berkata, bagi meneruskan operasi itu, PGA terpaksa dipanggil untuk melindungi keselamatan penguat kuasa yang bertugas di situ.
“Saya difahamkan hari ini (semalam) anggota PGA Briged Tenggara turut menyertai operasi musnah. Kehadiran mereka lebih menjamin keselamatan pasukan untuk membersihkan hutan itu daripada ditanam durian haram,” kata beliau semalam.
Difahamkan, anggota PGA yang tiba semalam memulakan tugas dengan melakukan kawalan di kawasan penanaman Musang King melibatkan kawasan seluas 101 hektar di Hutan Simpan Batu Talam.
Di Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PGA dihantar ke Raub bagi memastikan operasi memusnahkan kebun durian Musang King lancar dan anggota JPNP dapat menjalankan tugas tanpa diganggu pihak tertentu.
“Polis juga membuka kertas dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pemimpin parti politik yang merentas daerah dan negeri dalam isu ini,” kata beliau.
Kelmarin, JPNP menahan 18 orang disyaki pekebun haram durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di HSK Batu Talam.
Jabatan itu dalam kenyataannya memaklumkan, sepanjang operasi itu, mereka berdepan dengan provokasi pekebun haram termasuk mereka membuat halangan kepada kenderaan untuk keluar dan masuk ke kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tempoh kerja penguatkuasaan bermula 3 Julai lalu dan dijadual sehingga 2 Ogos ini atau selama kira-kira sebulan.
“Operasi penguatkuasaan membabitkan kebun-kebun haram termasuk ditanam durian ‘Musang King’ dalam HSK Batu Talam, berkeluasan kira-kira 101.17 hektar.
“Operasi penguatkuasaan termasuk menahan mana-mana individu atau pekebun yang memasuki kawasan HSK Batu Talam tanpa kebenaran dan turut menyita apa juga barangan dan kenderaan,” katanya.
Beliau berkata, operasi berkenaan diharap tidak dijadikan isu perkauman kerana sebelum ini, kerja-kerja penguatkuasaan turut dilakukan di Sungai Ichat (terdapat pekebun India) dan Lembah Bertam (pekebun Cina) di Cameron Highlands serta di Kechau, Lipis (pelombong emas Melayu).
Beliau berkata, ia adalah operasi penguatkuasaan biasa tetapi mendapat tentangan serta provokasi dengan kata-kata kesat dikeluarkan terhadap pegawai dan kakitangan penguat kuasa. – UTUSAN










