Anwar masih calon terbaik PM - Utusan Malaysia

Anwar masih calon terbaik PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih dilihat sebagai calon terbaik untuk diangkat sebagai calon Perdana Menteri sekiranya gabungan pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang itu perlu mendapat sokongan dan kerjasama daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Afdal selain pemimpin-pemimpin dari Sarawak.

Prof. Madya Dr. Rusdi Omar .

Tanpa sokongan dua pe­mimpin yang masih mempunyai pengaruh besar itu, sukar bagi Anwar dan Pakatan Harapan (PH) memberi saingan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya akan datang.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berpandangan, gabungan pembangkang perlu bersatu dan kembali merapatkan saf dengan diketuai seorang nakhoda seterusnya memberi fokus dalam menghadapi PRU-15.

Katanya, Anwar perlu segera memandang ke hadapan dengan melupakan hasrat untuk terus meraih sokongan bagi menukar kerajaan sedia ada, sebaliknya beliau perlu memantapkan gabungan pembangkang bagi menghadapi pilihan raya nanti.

“Pembangkang masih memerlukan kerjasama daripada Dr. Mahathir dan Mohd. Shafie untuk menguatkan pembangkang. Kedua-dua pemimpin itu masih mempunyai aura yang cukup kuat untuk membantu pembangkang.

“Pada masa ini, Anwar dilihat masih sebagai calon nombor satu daripada pembangkang untuk diangkat sebagai calon Perdana Menteri namun pembangkang perlu terlebih dahulu kembali mengukuhkan gabungan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Baru-baru ini, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menerusi satu kenyataan bersama menegaskan, sudah tiba masa­nya untuk seluruh blok pembangkang bersatu bagi membina kekuatan bersama.

Tambah Rusdi, peluang pembangkang dalam PRU-15 juga bergantung kepada sejauh mana hubungan antara UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya, jika ketiga-tiga parti itu mampu mencapai kata sepakat dan membentuk gabungan yang kukuh, agak sukar bagi pembangkang menumbangkan mereka.

“Jika sebaliknya berlaku di mana UMNO, Pas dan Bersatu masih berteka-teki dalam hubungan mereka maka peluang cerah untuk pembangkang nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Rusdi berkata, pembangkang juga perlu mengenengahkan pemimpin-pemimpin muda yang lebih segar seperti Nurul Izzah Anwar, beberapa pemimpin muda dari DAP selain menonjolkan Datuk Seri Salahuddin Ayub mengemudi Amanah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN