DALAM tempoh tiga tahun penubuhannya, Nusarasa baru melancarkan sebuah lagu. Tanpa disangka, lagu itu berjaya melonjakkan nama mereka apabila meraih tempat kedua dalam Pentas Akhir Anugerah Lagu Indie (ALI) 2020 pada 3 Oktober lalu. Lebih menarik lagi, lagu yang bertajuk Mesra itu baru sahaja diperdengarkan kepada umum pada Mei lalu melalui pelancaran video liriknya di Youtube. Malah mereka juga pertama kali mempersembahkannya secara langsung ketika Separuh Akhir ALI2020.
Lima wajah yang membentuk kugiran ini tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam industri muzik.
Namun kelibat mereka agak janggal untuk peminat scene independen.
Ayob Azril (keyboard), Fidi (vokal), Eja (dram), Amai (bass) dan Khazrin (gitar) mempunyai pengalaman bertahun dalam industri tetapi mereka memilih untuk merendah diri terhadap keupayaan dan kehebatan sebagai sebuah kugiran.
“Kami rasa seperti junior dalam scene sebab tak tahu apa-apa lagi tentang dunia muzik independen,” kata Eja.
Kelima-lima ahli Nusarasa ialah pemuzik profesional manakala Ayob, Eja dan Amai juga menjadi pensyarah sambilan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Ayob, Eja, Amai dan Khazrin pernah berkhidmat bersama di RTM Pahang sebelum memutuskan untuk membentuk kugiran setelah mereka berhijrah ke Kuala Lumpur.
Mereka mengenali Fidi dan menjemputnya untuk melengkapkan kugiran pada posisi vokalis.
Bercerita mengenai lagu Mesra, lagu yang dicipta Ayob sepenuhnya itu merupakan single pertama mereka yang dilancarkan di Youtube pada 20 Mei lalu.
Menurut Ayob, lagu itu membawa pesanan yang ringkas dan universal iaitu menghargai perhubungan sesama manusia.
“Saya cuba hasilkan lagu yang hangat dan lembut. Kadang-kadang kita ada pergaduhan dengan orang yang kita kenal dan sayang, cuma nak ingatkan yang kita saling memerlukan.
“Mesra itu untuk hubungan kita dan jika ada persengketaan, ingat semula kenangan lama sebab itu yang akan kuatkan hubungan,” jelasnya.
Walaupun dibarisi pemuzik handalan, Nusarasa secara jujur memberitahu mereka belum menemui hala tuju sebenar untuk kugiran itu.
Mungkin kerana semua mereka biasa memainkan muzik yang pelbagai ketika bekerja, proses membentuk identiti Nusarasa mengambil masa yang agak lama.
“Kami masih bereksperimen. Kami belum ada jati diri lagi. Kami main semua muzik ketika bekerja termasuk dangdut, aslidan pop. Jadi bila buat kugiran ini, baru kami sedar yang kita perlu ada konsep dan rujukan.
“Kami nak bereksperimen dengan susunan muzik. Masih dalam proses untuk mencari jati diri itu. Apabila kami bergabung, apa akan jadi? Melalui Mesra juga, kami nak lihat apa respons pendengar,” katanya.
Kemenangan Mesra dalam ALI2020 boleh dikatakan sebagai kejutan kerana sejak awal, mereka bukanlah peserta pilihan.
Ini ditambah dengan persembahan mereka semasa separuh akhir yang sangat ringkas. Nusarasa mengakui itu adalah strategi untuk menampilkan persembahan minimal ketika separuh akhir supaya penonton dan juri dapat melihat perbezaan persembahan mereka ketika pentas akhir.
Dalam pentas akhir, mereka menggunakan khidmat Hani & Zue untuk vokal iringan. Langkah itu sahaja sudah menarik perhatian kerana ramai mengenali Hani & Zue sebagai duo yang sudah sedia popular.
Ramai yang tidak tahu, mereka juga menggunakan khidmat Hani & Zue dalam versi rakaman.
Persembahan mereka juga antara yang paling sempurna pada malam itu, baik dari segi vokal atau permainan muzik.
“Untuk separuh akhir, kami pertaruhkan kekuatan lagu. Kami tahu, peserta lain akan buat sehabis baik semasa separuh akhir dan apabila mara ke akhir, mereka akan ada masalah kerana juri tak nampak perubahan yang dibuat,” kata Eja.
Kekuatan yang dapat dilihat pada persembahan Nusarasa dalam pentas akhir adalah dinamik lagu yang berjaya mewarnai persembahan mereka dengan baik.
Perkara sama turut diakui Nusarasa yang menganggap cabaran utama malam itu adalah untuk mewarnakan persembahan mereka supaya lagu yang ringkas seperti Mesra boleh dilihat menonjol.
“Kami gunakan kepakaran dan pengalaman masing-masing,” kata Eja. – Rondivu, Mingguan Malaysia










