KUALA LUMPUR: Kes kanak-kanak hilang di negara ini mengundang trauma kepada masyarakat dan paling terjejas tentunya ahli keluarga mangsa.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, sejak 2010 hingga 31 Mei lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 909 kes kanak-kanak bawah 12 tahun hilang.
Daripada jumlah tersebut, 10 kanak-kanak yang hilang setakat ini tidak ada petunjuk dan ada yang dikategorikan misteri.
Bagaimanapun, menurut Siti Kamsiah, polis tidak pernah menutup kes berkenaan kerana ahli keluarga sangat berharap anak-anak mereka kembali.
“Daripada 909 budak hilang, 899 kes berjaya diselesaikan sama ada mangsa ditemukan dalam keadaan hidup atau sebaliknya. Dalam tempoh itu hanya dua peratus atau 10 mangsa masih hilang.
“Sebanyak 531 kanak-kanak hilang adalah lelaki dan 378 lagi perempuan. Daripada jumlah itu, 732 mangsa berumur tujuh hingga 12 tahun manakala 177 orang lagi di bawah enam tahun,” kata beliau kepada Utusan Malaysia di Bukit Aman baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Siti Kamsiah berkata, setiap kanak-kanak hilang akan dihebahkan menerusi talian Nur Alert bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat selain operasi pencarian menyeluruh melibatkan pelbagai agensi.
“Penamatan operasi mencari di lokasi terakhir mangsa dilihat hanya dilakukan selepas polis berpuas hati dengan semua pandangan agensi mencari. Tamat operasi mencari tidak bermakna kes ditutup,” jelasnya.
Tambah beliau, polis akan memaklumkan perkembangan siasatan kepada keluarga enam bulan sekali.
Kata Siti Kamsiah, sehinggalah tiba satu tempoh tertentu, sekiranya tiada sebarang petunjuk mengenai kes tersebut, polis akan mengklasifikasikannya sebagai ‘kemas untuk simpan’.
Ujar beliau, kes tersebut hanya aktif disiasat semula apabila polis menerima maklumat baharu.
Dalam pada itu, dua contoh kes ‘kemas untuk simpan’ melibatkan kanak-kanak ialah Sharlinie Mohd. Nashar, 5, yang hilang pada 2008 dan Ting Song Seng, 7, hilang pada 1996.
Kedua-kedua kehilangan itu berlaku di Selangor.
Bagi kes Song Seng, mangsa dilaporkan hilang ketika menunggu bas sekolah di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (C) Taman Rasah, Klang.
Sharlinie pula hilang ketika bermain dengan kakaknya di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya.
Difahamkan, kedua-dua kes tersebut tidak ditutup dan polis mengklasifikasikan kes sebagai ‘kemas untuk simpan’ memandangkan tiada petunjuk jelas mengenai lokasi mangsa.
Kes Song Seng dan Sharlinie bukan antara 10 kanak-kanak hilang tersebut kerana kehilangan mereka berlaku sebelum Sistem Nur Alert diperkenalkan pada 2010.










