Pendakwaan tanpa cukup bukti burukkan imej perundangan negara -

Pendakwaan tanpa cukup bukti burukkan imej perundangan negara

Pendakwaan
ABU TALIB OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwa diingatkan tidak melakukan pendakwaan terhadap seseorang melainkan mereka mempunyai 90 peratus peluang untuk menang dalam kes berkenaan, kata bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman.

Beliau berkata, tindakan melepaskan seseorang yang sudahpun didakwa dengan alasan tidak cukup bukti dan saksi, merupakan penganiayaan terhadap tertuduh.

Katanya, senario itu hanya memburukkan kredibiliti pihak pendakwa raya Jabatan Peguam Negara, dan mengundang tanggapan negatif masyarakat terhadap sistem perundangan dan kehakiman negara.

Malah, tegasnya, prosedur menahan suspek sebelum memulakan siasatan oleh pihak berkuasa tanpa sebarang pendakwaan juga tidak seharusnya diamalkan.

Ketika saya menjadi Peguam Negara, saya membuat satu polisi yang mana seseorang itu tidak boleh didakwa kecuali pihak pendakwaan berpuas hati terdapat 90 peratus peluang untuk berjaya dalam kes,” katanya.

Macam mana awak dakwa seseorang kalau tak ada cukup saksi, tidak cukup bukti. Itu menganiaya orang. Pendakwaan berasaskan Rukun Negara, perlu mematuhi kedaulatan undang-undang, keadilan. Tidak adil dakwa seseorang jika tidak cukup bukti. Itu persecute (menganiaya) bukan prosecute (dakwa)

Jadi, yang didakwa tidak boleh mengatakan dirinya dianiaya ataupun tuduhan yang disabit tidak berasaskan kepada bukti yang ada. Apabila perkara ini tidak dilaksanakan maka timbul anggapan-anggapan yang memburukkan sistem kehakiman,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Kelab Golf Diraja Selangor, di sini baru-baru ini.

Kata Abu Talib, seseorang yang dituduh diadili berasaskan bukti dan undang-undang sedia ada dan pada peringkat ini pihak pendakwaan perlu membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah manakala tertuduh hanya perlu menimbulkan rasa was-was.

Tentang sama ada Malaysia masih mengamalkan kedaulatan undang-undang (rule of law), Abu Talib percaya ia masih diamalkan.

Mahkamah bersidang secara terbuka dan setiap keputusan yang dibuat diberikan alasan-alasan kenapa seseorang itu didapati bersalah atau tidak. Tidak ada sesuatu kes di negara ini yang mana seseorang itu tidak diberi peluang untuk mengemukakan kesnya.

Jadi tidak bolehlah negara kita ini dikatakan tidak ditadbirkan mengikut undang-undang.

Kita ada undang-undang. Kita ada kebebasan dari segi undang-undang dan prinsip kerajaan adalah rule of law, menghormati sistem demokrasi. Semua itu sempurna, yang menjadikannya tidak sempurna ialah orang yang mentadbirnya,’’ katanya.

Dengan mengambil contoh kes bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, Abu Talib berkata, tindakan menarik balik kes hanya memburukkan persepsi masyarakat terhadap institusi perundangan negara.

Pendakwaan hendaklah dilakukan bukan mengikut suka seseorang atau kerajaan yang ada tetapi berdasarkan cukupnya bukti dan sama ada bukti tersebut boleh menunjukkan tertuduh menyalahi undang-undang yang berkaitan. Kalau salah tetapi tak cukup bukti, saya fikir tak adillah untuk mendakwa seseorang itu,” katanya.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya dari 1980 hingga 1993, Abu Talib dianggap Peguam Negara yang penuh kontroversi menguruskan kes-kes berprofil tinggi.

Ia termasuklah kes bunuh Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, Mohamad Taha Talib melibatkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim dan pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dalam krisis kehakiman pada 1988.

Mengulas perkara itu, Abu Talib memberitahu, keputusan yang dibuatnya ketika itu hanya berasaskan kepada keadilan serta bukti-bukti yang ada.

Salleh adalah ketua saya sebelum menjadi hakim manakala Mokhtar pula orang politik berpengaruh. Satu perkara yang menyakitkan tetapi ia bukan soal peribadi tetapi kepentingan negara dan keadilan.

Apa yang penting, saya tidak ada niat jahat. Paling utama untuk keadilan dan niat baik untuk negara serta rakyat. Kena hentam keliling tapi kita senyum sahajalah,” katanya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya