Persiapan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menghadapi Monsun Timur Laut
KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengambil langkah awal bagi mendepani musim tengkujuh dengan memberi tumpuan kepada perlindungan sumber pendapatan warga tani dan kesinambungan bekalan makanan negara.
Bagi seorang petani, banjir bukan sekadar membawa kemusnahan tanaman, tetapi boleh melenyapkan sumber pendapatan yang diusahakan selama berbulan-bulan. Bagi nelayan pula, keadaan laut bergelora bermakna mereka terpaksa menangguhkan aktiviti yang menjadi punca rezeki.
Realiti inilah yang menjadi pertimbangan dalam pendekatan KPKM) menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu menekankan bahawa pengurusan risiko bencana dalam sektor agromakanan perlu bermula sebelum musibah melanda, dengan memberi keutamaan kepada langkah pencegahan, kesiapsiagaan aset dan penyelarasan tindakan di lapangan.
“Kita perlu lihat Monsun Timur Laut ini sebagai fenomena tahunan yang memerlukan persediaan awal, bukan menunggu sehingga banjir berlaku,” katanya.
MTL yang bermula pada 27 Oktober lalu dan dijangka berterusan sehingga Mac 2027 menuntut kesiapsiagaan menyeluruh, terutama di kawasan pengeluaran pertanian yang berisiko tinggi.
Bertindak sebelum bencana
Bagi memperkukuh kesiapsiagaan sektor pertanian, KPKM menerima peruntukan mengurus dan pembangunan berjumlah RM140 juta pada tahun ini bagi kerja berkaitan infrastruktur pengairan dan saliran pertanian, manakala RM95 juta diluluskan bagi tahun 2027.
Kementerian turut mempunyai 158 unit pam bergerak, selain kelulusan perolehan tambahan 65 unit bernilai RM22 juta bagi memperkukuh keupayaan pengurusan air di kawasan pertanian.
Namun, penekanan Menteri bukan semata-mata kepada jumlah aset yang tersedia, sebaliknya keupayaan menggerakkan aset berkenaan ketika diperlukan.
“Kita bukan hanya melihat jumlah pam, tetapi tahap kesiapsiagaan operator, keadaan aset dan keupayaan menggerakkannya apabila diperlukan,” ujar beliau.
Komitmen terhadap kesiapsiagaan infrastruktur turut diterjemahkan melalui penyiapan Projek TCG Gong Kulim pada Julai lalu serta pelaksanaan kerja menaik taraf 16 rumah pam saliran di Pasir Puteh, Kelantan.

Keselamatan dan kebajikan diutamakan
Dalam menghadapi musim tengkujuh, keselamatan warga tani, khususnya nelayan, turut menjadi perhatian Menteri.
“Kita faham apabila keadaan laut tidak selamat, nelayan tidak boleh mengambil risiko semata-mata untuk turun menangkap ikan. Kebajikan mereka perlu terus dibela kerana nelayan ialah antara penyumbang penting kepada bekalan makanan negara,” kata Mohamad.
Keprihatinan terhadap golongan tersebut turut diterjemahkan melalui kesinambungan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN), dengan peruntukan RM145.4 juta pada tahun ini.
Sehingga Oktober lalu, seramai 36,202 nelayan telah menerima manfaat dengan jumlah pembayaran RM91.06 juta. Bantuan berkenaan turut dikekalkan oleh Kerajaan MADANI menerusi Belanjawan 2027.
Menjamin kesinambungan bekalan makanan
Di sebalik cabaran cuaca, KPKM menzahirkan keyakinan bahawa bekalan makanan negara akan terus berada pada tahap mencukupi sepanjang musim tengkujuh, disokong pemantauan berterusan terhadap pengeluaran dan pengedaran makanan.
Mohamad turut mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat pembelian panik, sebaliknya mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi dan merancang pembelian mengikut keperluan.
Bagi beliau, menghadapi musim tengkujuh bukan sekadar soal mengurus bencana.
Ia turut melibatkan tanggungjawab melindungi mata pencarian warga tani, memastikan kelangsungan pengeluaran dan menjaga kepentingan rakyat sebagai pengguna. – UTUSAN











