MELAKA: Rakyat perlu bersedia menghadapi kemungkinan krisis makanan, susulan kenaikan harga minyak global dan konflik berterusan di Asia Barat yang dijangka memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan dunia.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, walaupun harga makanan ketika ini masih terkawal, kenaikan dijangka berlaku sekiranya situasi semasa berlarutan.
Menurutnya, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan memantau harga makanan setiap hari, selain mempergiat usaha mencari sumber import dari negara lain bagi memastikan bekalan mencukupi.
“Dalam situasi ini, Perdana Menteri boleh memanggil kami pada bila-bila masa untuk bermesyuarat dan mengeluarkan arahan terkini mengikut perkembangan semasa. Kerajaan sentiasa memantau perkembangan semasa dan akan mengambil tindakan segera bagi memastikan rakyat tidak terjejas dengan kenaikan harga yang mendadak.
“Sekiranya konflik terus berlanjutan, ia berpotensi mengganggu bekalan minyak global, sekali gus meningkatkan kos pengeluaran dan pengangkutan makanan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Sentuhan Agro Madani Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama Pemimpin Peladang Negeri Melaka di Dewan Datuk Demang Hussin, Bukit Katil di sini hari ini.
Mohamad berkata, kesannya bukan sahaja kepada Malaysia, malah seluruh dunia akan terjejas sekiranya perang berpanjangan.
Beliau turut menggalakkan rakyat memainkan peranan dengan menyertai projek kebun komuniti, selain mengusahakan aktiviti akuakultur dan penanaman padi secara berskala besar.
Menurutnya, rakyat juga digesa menanam makanan sendiri seperti sayur-sayuran bagi menambah bekalan domestik serta mengurangkan kebergantungan import.
“Saya memberi jaminan bahawa bekalan beras negara ketika ini adalah mencukupi dan berada pada tahap terkawal bagi memenuhi keperluan domestik,” ujarnya. – UTUSAN










