GEORGE TOWN : Projek pembangunan Pulau Silikon tidak seharusnya dilihat sebagai satu lagi projek penambakan laut di Pulau Pinang semata-mata.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebaliknya, projek pembangunan mega itu kini boleh dianggap sebagai pemangkin ekonomi strategik terhadap pertumbuhan ekonomi di negeri berkenaan untuk tempoh 50 tahun yang akan datang.
“Siapa sangka, kira-kira lima puluh tahun yang lalu, Pulau Pinang telah mengambil langkah berani untuk meneroka industri semikonduktor.
“Hari ini, kewujudan Pulau Silikon menandakan bermulanya satu lembaran baharu terhadap aspirasi kerajaan negeri dengan membuka ruang kepada pembangunan teknologi bernilai tinggi, pembungkusan termaju, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi dipacu kecerdasan buatan (AI).
“Berteraskan Penang2030 dan diiktiraf dengan status Rendah Karbon 5-Diamond, kewujudan Pulau Silikon juga membuktikan bahawa pembangunan serta kelestarian boleh berjalan seiring,” katanya selepas mengetuai lawatan untuk meninjau perkembangan projek pembangunan pulau buatan itu.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC), Datuk Seri Farizan Darus serta beberapa pemimpin negeri yang lain.
Sempena lawatan tersebut, Kon Yeow turut melancarkan Silicon Island Experience Centre atau Pusat Informasi Pulau Silikon bagi memperkenalkan projek berkenaan serta potensi yang dimilikinya untuk menarik pelaburan bernilai tinggi ke Pulau Pinang.
Sementara itu, Farizan memberitahu, pusat informasi berkeluasan kira-kira 2,500 kaki persegi itu berjaya disiapkan dalam tempoh empat bulan dengan kos RM2.5 juta.
Katanya, pengunjung yang menggunakan perkhidmatan itu juga berpeluang meneroka secara interaktif pelan induk pembangunan seluas 920 hektar, termasuk rangkaian infrastruktur, kawasan hijau khusus seluas 160.8 hektar serta zon pemuliharaan marin dengan menggunakan teknologi diod pemancar cahaya (LED) canggih yang terdapat di situ.
Dalam perkembangan berkaitan, Zairil berkata, pusat informasi itu penting kerana kewujudannya akan merapatkan jurang antara perancangan pelan induk beraspirasi tinggi di atas kertas dengan realiti fizikal yang berlaku di tapak projek.
“Dengan menyelaras sistem mobiliti canggih bersama reka bentuk hijau dan kesediaan digital, Pulau Silikon akan terus memantapkan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi utama bagi teknologi bernilai tinggi dan pelaburan mampan di rantau ini,” ujar beliau.-UTUSAN











