PETALING JAYA: Pihak berkuasa telah merampas dokumen dan bahan berkaitan dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan bersama agensi penguat kuasa di Kampung Nakhoda dan Taman Laksamana, Batu Caves, Gombak, semalam.
Operasi yang melibatkan seramai 207 anggota daripada enam agensi itu bertujuan menjalankan pemeriksaan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Enam agensi terbabit ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi berkenaan bagaimanapun tidak melibatkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Katanya,hasil pemeriksaan di kedua-dua lokasi itu melibatkan seramai 184 individu.
“Daripada jumlah berkenaan enam lelaki warga asing ditahan oleh JIM kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, katanya, KDN turut mengambil tindakan berhubung kesalahan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.
MPS pula mengambil tindakan terhadap kesalahan berkaitan pelesenan perniagaan dan pembinaan tanpa kebenaran termasuk mengeluarkan notis serta melaksanakan sitaan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Pemeriksaan oleh JBPM turut mendapati terdapat ketidakpatuhan terhadap aspek keselamatan kebakaran, termasuk kekurangan alat pemadam api dan kemudahan laluan keluar kecemasan di bangunan terbabit.
“Tindakan susulan akan dilaksanakan oleh agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing,” jelasnya.
Secara keseluruhannya, jelasnya, operasi bersepadu itu berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Polis Kontinjen Selangor akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa berkaitan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan, sekali gus memelihara keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya. –UTUSAN











