PETALING JAYA: Penggubalan Akta Keterjaminan Makanan Negara perlu disegerakan bagi memastikan keterjaminan makanan negara terjamin.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah tersebut penting susulan ancaman fenomena El Nino dan perubahan iklim yang berisiko mengancam sektor pengeluaran makanan tempatan.
Menurutnya, akta itu berupaya memastikan negara mempunyai sistem amaran awal, pelan kesiapsiagaan automatik serta mekanisme penyaluran bantuan yang lebih berkesan kepada sektor pengeluaran makanan.
“Keterjaminan makanan adalah keutamaan nasional yang memerlukan komitmen kolektif.
“Justeru, pelaksanaan kerjasama strategik yang holistik antara semua pihak amat penting bagi menjamin kemampanan sistem makanan negara, sekali gus memastikan Malaysia terus berdaya tahan mendepani dinamik cabaran global,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 hari ini.
Mohamad berkata, beberapa inisiatif strategik bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara telah dibincangkan termasuk potensi kebolehpasaran daging kultur dan makanan berasaskan sel sebagai sumber alternatif daging di Malaysia.
“Perbincangan juga mengenai teknologi baharu itu melibatkan pelbagai aspek termasuk teknikal, ekonomi, regulatori, sosio-psikologikal, alam sekitar dan perspektif agama termasuk pensijilan halal,” katanya.
Tambahnya, mesyuarat turut mencadangkan intervensi bagi memperkukuh kawalan serta pemantauan isu ketulenan madu secara bersepadu.
Pada masa sama, katanya, strategi pemerkasaan operasi sembilan slipway milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam industri pembinaan dan pembaikan kapal turut dibincangkan.
“Terumatanya bagi menangani isu kapasiti terhad, kos penyelenggaraan tinggi, penggunaan sistem manual dan kekurangan tenaga mahir.
“Selain, perbincangan mengenai perkembangan penyelidikan dan pembangunan produk makanan berasaskan protein alternatif yang dilihat mampu menyumbang kepada kepelbagaian sumber makanan negara pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










