Bom baja: KPKM tunggu laporan, enggan terburu-buru

Bom baja: KPKM tunggu laporan, enggan terburu-buru

MOHAMAD Sabu menyempurnakan gimik perasmian Baja Premium Care yang turut disaksikan oleh Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Muhammad Faris Arriffin (kiri); Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar; Ahli Lembaga Pengarah Nafas Bajakimia, Haris Alimudin (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Nafas Bajakimia, Zalifudin Md. Arshad (kanan) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur & Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di MAEPS, Serdang, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tidak akan bertindak terburu-buru termasuk menghentikan eksport baja ke negara jiran, susulan dakwaan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dijadikan bahan menghasilkan bom buatan sendiri (IED) oleh kumpulan pemisah di selatan Thailand.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya akan menunggu laporan siasatan daripada pihak berkuasa termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar Negeri (KLN) sebelum sebarang tindakan diambil.

Malah katanya, sebarang siasatan berkenaan perkara tersebut bukan dibawah bidang kuasa KPKM.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Itu (dakwaan isu SBBPKP dijadikan IED) bukan bawah KPKM. Segalanya bergantung kepada laporan KDN dan Kementerian Luar. Kita tidak boleh siasat hal kementerian lain.

“Bagi kita, pembekalan baja kepada petani akan diteruskan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Pemerkasaan Industri Benih Tanaman Negara dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sini, semalam.

Pihak berkuasa Thailand sebelum ini merampas kira-kira 520 kilogram (kg) baja urea dalam satu operasi di Mukim Koh Sathon, Tak Bai di sini pada Jumaat lalu.

Ba­­ja subsidi itu dikatakan baja di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) yang dibekalkan anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) untuk dijadikan bahan bagi menghasilkan bom buatan sendiri (IED) oleh kumpulan pemisah di selatan Thailand.

Menerusi gambar yang di­kongsikan kepada Utusan Malaysia, terpapar lambang Persekutuan Malaysia dan tulisan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan selain logo anak syarikat Nafas tersebut di guni baja yang dirampas.

Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, hasil pe­meriksaan yang dilakukan pi­hak berkuasa menemukan 26 guni baja urea dari Malaysia.

Dalam pada itu Mohamad berkata, pemberian baja subsidi kepada golongan petani di bawah SBPKP akan diteruskan seperti biasa bagi memastikan keperluan input pertanian golongan berkenaan tidak terjejas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini