PETALING JAYA: Kerajaan telah meluluskan beberapa keputusan awal bagi menangani kesan kenaikan kos bahan api dan tekanan terhadap sektor pertanian, termasuk penambahan stok penimbal beras melibatkan peruntukan tambahan lebih RM100 juta.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, cadangan lain seperti penggunaan kad fleet untuk jentera pertanian dan kenaikan kadar Insentif Pembajakan dan Insentif Penuaian Padi.
Selain itu katanya, kuota diesel kepada vesel C2 serta bantuan one-off kepada pekebun masih dalam penelitian kerana melibatkan komitmen kewangan yang besar.
“Jadi tidak adil untuk mengatakan Kerajaan tidak peduli. Permohonan telah pun diangkat sejak selepas cuti Hari Aidilfitri lagi.
“Namun dalam keadaan krisis, setiap sen perbelanjaan awam perlu diteliti dengan cermat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad berkata, dalam Belanjawan 2026, subsektor padi dan beras menerima peruntukan sebanyak RM2.62 bilion merangkumi subsidi harga padi, subsidi baja, insentif benih padi sah serta pelbagai insentif pengeluaran.
Katanya, lebih 50 peratus daripada bajet pengurusan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) disalurkan kepada subsektor padi dan beras, sekali gus membuktikan komitmen besar kerajaan terhadap kelangsungan sektor itu dan kebajikan pesawah.
“Namun, cabaran sebenar bukan sekadar jumlah bantuan. Isunya ialah struktur industri yang telah lama tidak diperbaiki.
“Dulu Malaysia mempunyai asas pertanian yang lebih kukuh, namun apabila negara beralih kepada ekonomi perindustrian, sektor ini tidak lagi diberi penekanan sama, menyebabkan kebergantungan kepada import semakin meningkat setiap tahun.
“Justeru, bantuan semata-mata tidak mencukupi. Kita memerlukan perubahan menyeluruh termasuk penggunaan teknologi moden, pengurusan sawah berskala besar, sistem pengairan lebih cekap serta disiplin dalam rantaian bekalan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan telah mula melaksanakan langkah ke arah pembaharuan tersebut, namun kesannya tidak akan dapat dilihat dalam tempoh segera.
“Kita boleh mengkritik, itu hak semua. Tetapi biarlah berasaskan fakta, bukan sentimen atau kepentingan politik sempit.
“Akhir sekali, dalam tekanan harga input pertanian dunia yang tidak dapat dielakkan, utamakan keperluan, elakkan pembaziran dan pembelian panik,” katanya.
Tambah beliau, kenaikan harga minyak ketika ini berlaku di seluruh dunia dan bukan hanya Malaysia yang terkesan, sekali gus memberi kesan langsung kepada kos pertanian.
“Apabila harga bahan api meningkat, hampir semua kos pengeluaran turut naik termasuk baja, racun dan upah membajak.
“Bila harga bahan api naik, kos pertanian turut meningkat. Baja naik, racun naik, upah membajak pun naik. Pendek kata, hampir semua kos meningkat,” katanya.
Menurut beliau, situasi itu bukan sahaja membebankan pesawah, malah kerajaan juga menanggung tekanan kewangan yang besar apabila subsidi bahan api melonjak daripada sekitar RM700 juta kepada RM6 bilion dalam tempoh sebulan, iaitu peningkatan hampir sembilan kali ganda.
Katanya, kerajaan juga perlu mengambil kira bahawa bukan sektor padi sahaja memerlukan bantuan kerana banyak sektor lain turut terkesan akibat krisis berkenaan.
“Kerajaan bukan hanya perlu melihat nasib 200,000 pesawah, tetapi juga menjaga kebajikan lebih 30 juta rakyat Malaysia. Inilah dilema besar yang dihadapi hari ini,” katanya.
Mohamad berkata, semua kementerian telah menilai kesan awal krisis tenaga global terhadap kumpulan sasar masing-masing dan hampir kesemuanya memerlukan intervensi serta tambahan peruntukan.
“Ibarat seorang ayah yang menerima aduan daripada anak-anak, tentulah ayah perlu melihat kemampuan yang ada dan menentukan siapa yang perlu dibantu terlebih dahulu.
“Jika ada yang sedikit lewat dibantu, bukan bermakna tidak dipedulikan, tetapi kerana sedang mencari jalan untuk menambah sumber,” katanya. – UTUSAN










