KLANG: Seorang pelajar tingkatan tiga dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas dikatakan mandi bersama enam rakannya yang lain di sebuah tasik buatan dekat Bandar Botanik, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.21 petang tadi.
“Komander operasi melaporkan seorang mangsa dikhuatiri lemas semasa melakukan aktiviti mandi-manda bersama rakan. Mangsa seorang lelaki.
“Kerja-kerja pencarian mangsa sedang dijalankan termasuk menggunakan kaedah selaman,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu pihaknya menggerakkan sepasukan tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas dan Shah Alam bersama sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah kenderaan utiliti operasi ringan (LOV). – UTUSAN











