KUALA LUMPUR: Pas dan UMNO semakin bersedia memperkukuh penyatuan politik kedua-dua parti itu bagi membentuk kekuatan baharu untuk kembali menguasai Putrajaya.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) hari ini memberi keyakinan bahawa usaha penyatuan umat Islam mampu direalisasikan.
“Kita mengucapkan tahniah kepada ucapan Datuk Seri Presiden tadi. Ucapan yang meyakinkan. Ucapan yang amat meyakinkan kita bahawa penyatuan umat Islam akan berjaya, In Sha Allah dan kita sedang bersedia untuk ke Putrajaya.
“Sebagaimana kita amat berterima kasih kepada kehadiran UMNO di muktamar kita, saya yakin bahawa UMNO juga gembira kita hadir ke sini,” katanya kepada media selepas Ucapan Dasar Presiden pada PAU, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Ahmad Zahid menyifatkan pertemuan antara kekuatan politik UMNO dan Pas mampu mengubah landskap politik negara menerusi formula perkongsian kuasa.
Beliau berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) mahu menjadi induk dalam politik negara, namun pada masa sama bersedia berkongsi kekuasaan dengan parti lain dalam membina sebuah kerajaan yang mewakili masyarakat majmuk.
Kehadiran barisan kepimpinan Pas pada Perasmian PAU 2026 hari ini turut membawa mesej jelas mengenai usaha memperkukuh hubungan antara dua parti politik terbesar umat Islam itu.
Pas diwakili Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad; Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Penerangan, Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Che Sulaiman.
Nik Abduh turut hadir sebagai tetamu khas Presiden UMNO pada perasmian PAU berkenaan. –UTUSAN










