DAP sedia kerjasama termasuk Bersatu

DAP sedia kerjasama termasuk Bersatu

TENGKU ZULPURI SHAH RAJA PUJI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: DAP terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) demi memastikan kestabilan negara terus terpelihara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, kerjasama politik perlu mengambil kira kepentingan negara, termasuk usaha memantapkan ekonomi dan kesejahteraan sosial masyarakat majmuk.

Menurut beliau, DAP kini berada dalam fasa lebih matang selepas melalui pelbagai pengalaman sepanjang penglibatannya dalam politik negara sejak enam dekad lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pandangan peribadi saya, sesiapa pun boleh bekerjasama. Politik DAP adalah untuk kestabilan negara, memantapkan ekonomi dan sosial masyarakat majmuk di Malaysia.

“DAP sudah masuk fasa matang sepak terajang politik. 60 tahun dalam politik Malaysia, tebuk atap, tikam belakang semua sudah dilalui oleh parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari, yang juga Naib Presiden PKR, berkata PH sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama atau sebarang persefahaman dengan parti atau gabungan politik, termasuk dengan Perikatan Nasional (PN) atau Bersatu.

Bagaimanapun, Amirudin berkata, kerjasama berkenaan perlu menerima pakai prinsip kestabilan politik dan kepentingan rakyat.

Minggu lalu media melaporkan PH Selangor dilihat tidak menolak kemungkinan gabungan itu bekerjasama dengan Bersatu.

Jajaran itu dipercayai bagi memastikan kedua-dua parti terus kukuh dan mempunyai kekuatan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Tengku Zulpuri Shah berkata, pengalaman berdepan pelbagai cabaran politik menjadikan DAP lebih terbuka dalam mempertimbangkan bentuk kerjasama dengan mana-mana parti.

Katanya, kerjasama berkenaan bagaimanapun perlu berlandaskan syarat dan prinsip tertentu bagi memastikan kepentingan rakyat tidak terjejas.

“Demi kepentingan negara yang tercinta, tiada salahnya bekerjasama dengan sesiapa pun tetapi dengan syarat-syarat tertentu supaya tiada pengkhianat kedua untuk rakyat marhaen,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN