‘Penghijrahan’ dua ahli GRS ke PKR cermin dinamika politik Sabah

‘Penghijrahan’ dua ahli GRS ke PKR cermin dinamika politik Sabah

HAJIJI NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ‘Penghijrahan’ dua ahli Parti Gagasan Rak­yat Sabah (PGRS) iaitu Datuk Jawawi Jaafar dan George Hiew bagi mewakili PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 29 November ini mencerminkan dinamika politik di negeri tersebut.

Ia menunjukkan dinamika politik di Sabah adalah berasaskan hak demokratik dan keterbukaan di kalangan parti-parti dalam kerajaan hari ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan kedua-dua individu berjawatan Ketua Bahagian PGRS itu dibuat atas kehendak serta hak demokrasi masing-masing.

“Ya, mereka menjadi calon PKR. Ini bukan calon yang dipinjamkan, tetapi sudah tentu ia adalah hak demokrasi mereka. Jadi, mereka memilih untuk menjadi calon PKR dan secara kebetulan pula kita berada da­lam kerajaan yang sama.

“Bagi saya, tidak mengapa. Itulah dinamika politik di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Maj­lis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) dan Malayan Ban­king Berhad (Maybank) di Me­nara Kinabalu, di sini semalam.

Hajiji menjelaskan, susulan pengumuman itu, status keahlian kedua-dua pemimpin berkenaan kini bertukar dan mereka bukan lagi ahli Gagasan Rakyat.

“Kami sudah pun melepaskan mereka. Apa lagi,” katanya.

Ditanya sama ada parti itu menggalakkan tindakan ber­kenaan, Hajiji sekali lagi menegaskan keputusan tersebut dibuat atas hak individu dan tidak boleh dianggap sebagai dorongan daripada mana-mana pihak.

“Saya tidak boleh kata begitu sebab ini adalah hak demokrasi mereka. Jadi, tidak ada soal menggalakkan. Kita tidak bo­leh cakap begitu. Terpulang kepada mereka, dan perkara itu pun sudah berlaku, jadi biarlah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN