PENDANG: Gesaan DAP agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan segera usaha reformasi dalam tempoh enam bulan bukanlah satu ugutan susulan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah). Datuk Mahfuz Omar berkata, kekalahan itu tidak wajar dikaitkan sepenuhnya dengan kegagalan melaksanakan reformasi institusi atau dasar tertentu oleh kerajaan.
“Saya tidak anggap satu ugutan tetapi kejutan kerana kekalahan di Sabah, tetapi saya sangat positif kerana ia bukan sebab reformasi institusi dan sebagainya yang menyebabkan pengundi tidak menerima parti-parti tertentu tetapi budaya politik di Sabah sangat berbeza.
“Jadi harus kita fahami dan jangan beban kekalahan itu kerana kita tak buat itu dan ini, memang kita nak buat tetapi perlulah ada tempoh masa yang munasabah, kalau tidak hari ini esok, lusa kerana sepanjang masa kita akan perbaiki,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Sulung Benih Padi Sah M297 dan MR315 di Pusat Pengeluaran Benih Padi Pertubuhan Peladang Kedah di Kubur Panjang di sini hari ini.
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu diminta mengulas tentang kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang memberi syarat kepada Perdana Menteri supaya melaksana reformasi dalam tempoh enam bulan susulan kekalahan pada PRN Sabah.
Mahfuz berkata, usaha reformasi yang sedang dilakukan kerajaan Madani tidak gagal kerana pelaksanaan sedang dilakukan sehingga ke saat ini kerana ia tidak boleh dijalankan secara serentak tetapi berperingkat mengikut keutamaan dan keupayaan semasa.
“Bagi saya reformasi itu memang sedang berjalan dan sudah tentu kita tidak boleh buat sesuatu pembaharuan itu serentak. Kita tidak boleh buat kerja dalam satu masa, tentu ada reformasi yang kita buat tahun ini, ada yang tahun akan datang.
“Mana ada orang yang ada rumah lima bilik, dia boleh tidur lima-lima bilik itu dalam satu masa. Begitulah juga dalam kaedah menguruskan negara bagi saya reformasi itu satu keperluan dan sedang dibuat. Bukan sahaja terhadap perkara asas tetapi dalam sektor awam juga dibuat berkaitan karenah birokrasi,” katanya. – UTUSAN










