PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih menunggu pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berhubung kekosongan kerusi Lamag susulan kematian penyandang Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, SPR akan menentukan tarikh pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi berkenaan mengikut peruntukan undang-undang setelah menerima notis rasmi berkenaan.
“SPR kini hanya menunggu pemakluman daripada Speaker (sebelum tarikh pengumuman PRK dapat dibuat),” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November lalu, Bung Mokhtar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam persaingan enam penjuru pada 29 November lalu.
Dalam pada itu, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar ketika ditanya sama ada SPR perlu menjadi pihak yang mengisytiharkan kekosongan itu atau tidak ekoran belum mengangkat sumpah, beliau berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian.
“Pegawai pengurus pilihan raya sudah isytihar Bung Mokhtar sebagai pemenang yang dipilih bagi kawasan itu.
“Ini sudah sah status dia sebagai ADUN Lamag. Dia meninggal dunia maka berlaku kekosongan luar jangka. PRK perlu diadakan bagi mengisi kekosongan itu,” jelasnya.
Sementara itu, Wan Ahmad berkata, angkat sumpah hanya peraturan dalaman DUN untuk membolehkan seseorang wakil rakyat menduduki kerusinya di dalam Dewan selepas disahkan sah dipilih dan diisytiharkan SPR.
“Maka, kerusi DUN Lamag kini menjadi kosong. Kekosongan kerusi yang berlaku secara luar jangka ini perlu diisi melalui PRK dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan berlaku,” jelasnya.-UTUSAN










