SEREMBAN: Tiga individu yang dipercayai terbabit dalam kes kematian seorang lelaki warga emas yang dipercayai didera di sebuah rumah di Rasah Jaya, di sini, direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Yatim Osman berkata, perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek berusia antara 28 hingga 34 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Seremban bagi membantu siasatan kes berkenaan
Menurutnya, ketiga-tiga suspek ditahan semalam susulan kejadian yang tular membabitkan seorang lelaki berusia lingkungan 60-an yang berkerusi roda.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mengulas lanjut mengenai punca kematian mangsa, Mohd. Yatim berkata, pihaknya masih belum menerima laporan hasil bedah siasat.
Katanya, bedah siasat dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban di sini. -UTUSAN











