KUALA LUMPUR: Penerapan kecerdasan buatan (AI), robotik dan teknologi automasi dalam sektor makanan dan minuman (F&B) mampu meningkatkan kecekapan operasi, menjimatkan kos serta meningkatkan produktiviti dan daya saing industri berkenaan.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, penerapan teknologi itu mampu membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan pembaziran bahan mentah serta memastikan kualiti makanan lebih konsisten.
Katanya, penggunaan AI turut membolehkan pemeriksaan keselamatan makanan dilakukan secara masa nyata, selain menghubungkan sektor pertanian dengan industri F&B menerusi ramalan permintaan berdasarkan trend pasaran.
“Penerapan teknologi itu selari dengan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026-2030 yang memberikan tumpuan kepada AI, automasi dan pendigitalan sebagai pemacu produktiviti serta inovasi negara.
“Menerusi Blueprint AI Nation 2030 dan kerangka Malaysia Digital 2030 (MD2030), kerajaan menyasarkan ekonomi digital menyumbang hampir 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030,” katanya di majlis pelancaran pertandingan robot memasak pintar Malaysia Halal Series 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Beliau berkata, pembangunan teknologi tempatan perlu diperkukuh menerusi pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kerjasama antara universiti, institusi penyelidikan dan pemain industri.
Tambahnya, penerapan teknologi juga perlu mengambil kira kekuatan industri halal negara serta dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan skala operasi dan keperluan sebenar perniagaan.
Sementara itu, Brian Ding berkata, sektor F&B Malaysia mencatatkan pertumbuhan aktiviti perniagaan sebanyak 7.1 peratus pada suku kedua 2026, manakala guna tenaga dan gaji meningkat 9.9 peratus serta jualan restoran berkembang 5.8 peratus.
Katanya, perkembangan itu menunjukkan peningkatan permintaan pasaran dan keperluan industri untuk memanfaatkan AI serta automasi bagi memperkukuh keupayaan operasi perniagaan.
“Teknologi robotik yang dibangunkan juga perlu praktikal dan berdaya maju secara komersial tanpa mengetepikan keaslian cita rasa makanan tempatan.
“Matlamat kita bukan untuk menggantikan cef tradisional, sebaliknya menggabungkan kemahiran mereka dengan teknologi moden bagi mengekalkan keaslian makanan Malaysia, selain mencapai konsistensi dan kecekapan yang lebih baik,” katanya.-UTUSAN











