Kementerian Pengangkutan jadi tumpuan media susulan Najib bayar denda RM50 juta

Kementerian Pengangkutan jadi tumpuan media susulan Najib bayar denda RM50 juta

ANTARA pengamal media yang menunggu di pekarangan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya bagi mendapatkan reaksi Anthony Loke.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan hari ini menjadi tumpuan pengamal media yang berkumpul bagi mendapatkan reaksi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke susulan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selesai melunaskan denda RM50 juta.

Perhatian media terarah kepada Loke berikutan pendirian Setiausaha Agung DAP itu yang sebelum ini untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sebaik sahaja Najib dibebaskan dari penjara bagi menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah.

Difahamkan, ketika ini Loke mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet di kementerian itu pada pukul 3 petang ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setakat ini, pengamal media masih menunggu peluang mendapatkan reaksi Loke susulan perkembangan terbaharu kes berkenaan.

Najib disahkan selesai menjelaskan denda berkenaan di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, selepas pegawai khasnya, Ahmad Lutfi Azhar hadir pada pukul 11.30 pagi bagi menguruskan pembayaran serta melengkapkan prosedur pentadbiran berkaitan.

Pembayaran itu merupakan antara syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Sebelum ini, pada 2 Februari 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari 2024.

Pada 18 September lalu, pengampunan bersyarat tambahan diperkenankan menerusi Mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-64, dengan antara syarat ditetapkan ialah pembayaran denda RM50 juta bagi membolehkan baki hukuman dijalani menerusi tahanan di rumah.

Sementara itu, Loke pada 19 September lalu menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan berkenaan, selaras dengan pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.

Beliau kemudian mengesahkan pada 29 September lalu bahawa surat peletakan jawatan telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun diminta meneruskan tugas buat sementara waktu.

Loke menegaskan peletakan jawatannya akan berkuat kuasa sebaik sahaja Najib keluar dari penjara untuk menjalani baki hukuman di rumah. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini