Peguam Najib tiba di Penjara Kajang

Peguam Najib tiba di Penjara Kajang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Peguam Datuk Seri Najib Razak, Farhan Muhammad Shafee tiba di Penjara Kajang kira-kira pukul 2.15 petang tadi, dipercayai bagi menguruskan proses berkaitan bekas Perdana Menteri itu selepas denda RM50 juta selesai dijelaskan tengah hari tadi.

Muhammad Farhan dilihat memasuki kawasan penjara dengan menaiki sebuah kereta Audi berwarna putih.

Kehadirannya menarik perhatian susulan perkembangan bahawa pihak peguam Najib sedang menunggu surat perintah pembebasan tahanan untuk diserahkan kepada Jabatan Penjara Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan rasmi bahawa Najib telah dibawa keluar dari Penjara Kajang.

Tengah hari tadi, Najib selesai menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Muhammad Farhan mengesahkan pembayaran itu selepas tiba di kompleks mahkamah kira-kira pukul 11.30 pagi sambil membawa sebuah beg hitam berkunci bagi menyelesaikan urusan berkenaan.

Beliau sebelum itu memaklumkan pihaknya sedang menunggu surat perintah pembebasan tahanan yang akan diserahkan kepada Jabatan Penjara Malaysia.

Pembayaran denda itu merupakan antara syarat pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Dalam perkembangan sama, UMNO secara rasmi menutup akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak selepas kutipan dana bagi membantu bekas Perdana Menteri itu mencapai sasaran ditetapkan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini berkata, segala proses pembayaran kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut diselesaikan pagi tadi.

Najib, 73, mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya dan mengekalkan sabitan serta hukuman terhadap tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.

Beliau pada asalnya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Pada Februari 2024, Lembaga Pengampunan mengumumkan hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini